Pelakon Azhan Rani mengakui berasa ralat dengan kesilapannya yang terlepas pandang komen yang ditinggalkan peminat di TikTok baru-baru ini.

Menyesali perbuatannya, Azhan memberitahu dia tidak mempunyai niat untuk mempersendakan individu tersebut yang sudah kehilangan ibu tercinta.

“Kesilapan saya tidak membaca dengan betul, tiada langsung sekelumit niat untuk mempersenda. Malah, saya juga sudah memohon maaf kepada individu itu.

“Saya baru perasan apabila komen berkenaan menjadi viral di Tik Tok. Saya begitu menyesali kesilapan saya kerana tidak membaca dengan betul.

“Apatah lagi, perkara yang saya terlepas pandang itu mengenai seseorang yang kehilangan ibunya. Sukar untuk diluah rasa bersalah itu,” kata Azhan.

Terdahulu, pengguna media sosial bernama Nur Nabila Samsudin yang juga peminat kepada Azhan berkongsi arwah ibunya meminati lakonan pelakon itu.

Bagaimanapun, Azhan secara tidak sengaja membalas komen itu dengan meminta individu tersebut menyampaikan salam kepada ibunya yang sudah meninggal dunia.

“Allahuakbar…Malu saya. Sampaikan salam saya pada mak. Semoga sihat walafiat,” tulis Azhan.

Menyedari komen yang menjadi viral itu, Azhan membuat permohonan secara terbuka di komen berkenaan.

“Allahuakbar..Maaf saya terlepas pandang baca. Maafkan saya. Al Fatihah untuk arwah bonda awak. Semoga ditempatkan bersama orang-orang yang soleh,” tulisnya lagi.

Peminat berkenaan menyambut baik permohonan maaf Azhan dan mendoakan agar pelakon itu terus terbang lebih tinggi dalam bidang lakonan.