HIBURAN

Azhan Rani Sedih Lihat Warga Emas Dihalau Ketika Beriktikaf Di Surau - “Pada Yang Merakam Pakcik Itu…”

Umirah Halim 29/06/2025 | 09:02 MYT
Pelakon, Azhan Rani meluahkan rasa sedih dan kecewa selepas menonton video tular yang memaparkan seorang warga emas dihalau ketika sedang beriktikaf di sebuah surau baru-baru ini.

Menerusi satu hantaran yang dimuat naik di Instagram, Azhan berkongsi perasaan terkejut apabila melihat kejadian menyedihkan itu yang turut dirakam dan disebarkan di media sosial oleh individu terbabit.

Menurut Azhan, tindakan menghalau lelaki tersebut atas alasan kononnya mahu mengelakkan pembaziran elektrik dan risiko kecurian selepas waktu solat fardu amat menyedihkan.
“Hari ini tertengok satu video seorang pak cik yang sedang beriktikaf dalam sebuah surau dihalau keluar sambil dirakam dan dimuat naik di media sosial.

“Alasannya, kerana pembaziran tenaga elektrik dan nak elakkan kecurian di surau itu kerana lepas waktu solat fardu,” tulisnya.

Pelakon drama Nur itu turut membandingkan insiden tersebut dengan adegan dalam drama berkenaan yang menyaksikan watak Tok Siak menghalau watak Nur dari masjid kerana dianggap ‘tidak layak’ berada di rumah Allah.

“Astaghfirullahalazim, dalam drama Nur pun kalau siapa ingat ada satu watak tok siak akan halau watak Nur yang cuba datang ke masjid sampai baling selipar hanya kerana Nur perempuan lorong dan dirasakan tak layak berada di rumah Allah.

“Tapi tak apalah itu dalam cerita. Yang fasal pak cik ini pula dalam realiti,” tulisnya lagi.

Katanya lagi, walaupun ada segelintir pihak tidak selesa melihat isu-isu seperti ini digambarkan dalam drama, hakikatnya realiti masyarakat hari ini turut dibelenggu dengan sikap tidak berperikemanusiaan, lebih-lebih lagi apabila melibatkan institusi keagamaan.

“Kebenaran itu pahit, dalam drama orang boleh melenting dan marah kalau sisi kudis-kudis kehidupan ini diceritakan tapi mampu ke kita menolak realiti kehidupan ni tak lari kudis-kudis yang kita bencikan.

“Semoga yang keruh dapat dijernihkan dan semoga ada pengajaran untuk kita semua.

Dalam pada itu, Azhan turut mendoakan agar warga emas yang terlibat diberi ketenangan dan kekuatan, sambil menasihati individu yang merakam insiden tersebut agar muhasabah diri.

“Insya-Allah, doa yang baik-baik buat pak cik itu juga.

“Pada yang merakam pak cik itu, andai hari ini tersasar moga esok akan ada jalan pulang untuk kita semua,” katanya lagi.

Kejadian di Surau Bandar Rimbayu

Terdahulu, tular satu video yang menunjukkan seorang lelaki dipercayai bapa kepada bekas peserta Pencetus Ummah musim ketiga, Azhar Hilmi, dihalau keluar oleh seorang wanita ketika sedang beriktikaf di sebuah surau di Bandar Rimbayu, Selangor.

Difahamkan, wanita tersebut mendakwa lelaki itu bukan penduduk setempat, dan menegaskan bahawa bil utiliti surau itu ditanggung melalui yuran penyelenggaraan penduduk kawasan berkenaan.

Bagaimanapun, pihak Ahli Jawatankuasa (AJK) Surau Musolla Halaman 11 menafikan dakwaan wanita berkenaan dan menjelaskan bahawa segala kos operasi dan pengurusan surau dibiayai melalui sumbangan orang ramai, bukannya wang penduduk.

Isu berkenaan mencetuskan perbincangan hangat dalam kalangan warganet, yang rata-rata mengecam tindakan menghalau warga emas terbabit dan menyifatkannya sebagai tidak wajar, lebih-lebih lagi berlaku di rumah ibadat.

#Halau #Masjid #Sedih #Rani #Azhan