Hiburan
Azhan Rani Tak Buat 'Review' - "Mahu Fokus Sebagai Pelakon Bukan Tukang Ulas Produk"
Pelakon Azhan Rani memilih untuk tidak menerima tawaran mengulas produk (review) daripada peniaga di platform media sosial walaupun menjanjikan pulangan hingga puluhan ribu ringgit sebulan.
Menurut Azhan, 44, dia bimbang sekiranya fokus dalam lakonan terganggu disebabkan perlu melakukan lebih daripada satu kerja dalam satu masa.
"Seakan menjadi trend artis menjadi pilihan peniaga untuk mempromosi dan melariskan produk mereka. Buat masa ini, saya belum terfikir mengikut jejak langkah rakan lain.
"Saya tak mahu fokus lari. Sebolehnya untuk menjadi pelakon serius, saya perlu mengutamakan lakonan berbanding benda lain. Ia pilihan saya sendiri kerana berasakan tidak mampu mengawal keadaan.
"Sekiranya orang lain mampu membahagikan antara kerjaya lakonan dan membuat ulasan dalam media sosial, itu terpulanglah kepada mereka," katanya kepada Gempak.
Dalam pada itu, pelakon yang terkenal dengan watak Ustaz Hamadi dalam drama rantaian Nur dan Nur 2 ini akui berasa kurang selesa untuk membuat ulasan di set penggambaran.
"Sebolehnya, saya mahu fokus sebagai Azhan Rani seorang pelakon, bukan tukang ulas produk.
"Lagipun, saya kurang selesa apabila terpaksa membuat ulasan sewaktu sedang sibuk di lokasi penggambaran. Saya pernah menerima empat produk sama serentak.
"Hilang kreativiti jadinya apabila terpaksa memberi komen kepada produk yang sama. Dari situ, saya sedar tidak sesuai dengan tuntutan kerja sedemikian," katanya lagi.
Walau bagaimanapun, pemilik nama Azhan Abdul Rani menyatakan ini bukan keputusan muktamad.
"Saya tidak mampu untuk meramal masa depan. Siapa tahu mungkin satu hari nanti terpaksa bergantung kepada ulasan produk demi kelangsungan hidup," kata Azhan.
Must-Watch Video