Konsert Azharina Queen of Soul telah berlangsung dengan meriah bertempat di Teater Shah Alam malam tadi.

Seramai kira-kira 800 orang telah hadir memenuhi ruangan dewan untuk menyaksikan persembahan penyanyi berbakat ini.

Sepanjang konsert tersebut, penonton telah dihiburkan dengan lagu-lagu popular Azharina sepanjang penglibatannya dalam industri muzik.

Antara lagu yang telah dipersembahkan adalah Seandainya, Elegi Sepi, Rawan dan banyak lagi.

Di sini, Gempak kongsikan sepuluh perkara menarik sepanjang berlangsungnya konsert terbabit.

1. Persembahan Pembukaan Yang Bertenaga

Azharina membuka tirai konsert tersebut dengan menyanyikan lagu Ain't Nobody nyayian asal Chaka Khan. Aura persembahan pembukaannya ternyata mampu memberi kehangatan malam gilang gemilang itu.

2. Kemunculan Lan Solo

Rakan seperjuangan Azharina, Lan Solo muncul selepas persembahan pembukaan. Lan dan Azharina berduet menyanyikan lagu Sudah Kahwin Ke Belum yang mampu membuat penonton turut 'bergoyang' ketika menyaksikannya. Selain itu, Lan turut menyampaikan lagu Memburu Impian dan Selagi Ada Waktu di segmen solonya.

3. Unsur Jenaka Yang Bersahaja

Selain hebat melontarkan vokal mantap, Azharina juga pandai berjenaka. Penonton sentiasa dihiburkan dengan jenakanya yang bersahaja dan tidak terlalu mencuba. Ternyata ia menambahkan lagi kemeriahan pada malam itu.

4. Sokongan Padu Penonton

Konsert ini bukan sahaja menyaksikan kualiti persembahan Azharina malah semua penonton yang hadir juga tidak hambar, mereka menambah kemeriahan dengan bersorak dan menari ketika lagu rancak dinyanyikan.

5. Imbas Kenangan Sehingga Menitiskan Air Mata

Penyanyi kelahiran negeri di bawah bayu ini mengimbas perjalanan sepanjang penglibatannya sebagai seorang penyanyi sehingga menitiskan air mata di pentas konsert itu. Azharina sangat menghargai sokongan semua peminatnya yang membuatkan dia terus bertahan sehingga kini

6. Unsur Ketuhanan Tidak Diketepikan

Dalam keseronakan berhibur, unsur ketuhanan tidak dilupakan. Azharina menyampaikan lagu Desert Rose (Ya Robbi) yang memuji kebesaran Tuhan yang maha esa.

7. Penonton 'Sing Along'!

Seluruh ruangan dewan dipenuhi cahaya dari telefon bimbit penonton yang turut sama menyanyikan lagu Sambutlah Kasih ketika ia dipersembahkan oleh Azharina. Konsert berprestij itu seumpama memberi peluang kepada semua penonton untuk karaoke bersama!

8. Lagu I'll Never Love Again Didedikasikan Kepada Semua Peminat

Lagu I'll Never Love Again nyanyian asal Lady Gaga telah dipersembahkan sebagai tanda penghargaan kepada semua peminatnya. Semua penonton terkesima menyaksikan lontaran vokal dan penghayatan Azharina ketika menyampaikan lagu tersebut.

9. Turun Bersalam Bersama Peminat & Rakan Media

Penyanyi berbakat ini bukan sekadar hebat beraksi di atas pentas, Ketika menyanyikan lagu Seandainya, Azharina sempat turun dari pentas untuk bersalam bersama peminat dan rakan media yang hadir memberi sokongan.

10. Lagu Baru Diperkenalkan

Di penghujung konsert tersebut, Azharina menyanyikan lagu terbarunya yang berjudul Kau Kasihku hasil ciptaan Korie Aminuddin yang turut diundang ke pentas bagi mengiringi persembahan. Lagu itu diperdengarkan buat pertama kalinya kepada semua penonton yang hadir pada malam itu.

Secara keseluruhan, Konsert Azharina Queen of Soul berjaya memukau penonton dengan susunan lagu yang tidak membosankan, lontaran vokal hebat dan sedikit unsur jenaka yang bersahaja. Tidak hairan lah Azharina diberi jolokan 'Queen of Soul'!