HIBURAN

Aziz Harun Kesal Jadi Mangsa Berita Palsu - “Kalau Benar Sudah Kaya Saya Mungkin Tidak Lagi…”

Asyraf Roslan 07/02/2025 | 12:55 MYT

Penyanyi Aziz Harun meluahkan rasa kesal selepas menjadi mangsa penyebaran berita palsu di laman sosial.

Menurut Aziz, berita tersebut bukan sahaja menimbulkan kekeliruan, tetapi juga membimbangkan kedua ibu bapanya memandangkan beliau tidak tinggal bersama mereka.

“Ini pengalaman pertama saya berdepan perkara seperti ini, dan ia sangat menakutkan.

“Saya tidak tahu apa matlamat pihak yang menyebarkan berita palsu itu, malah ia turut tersebar di Brunei.

“Lebih merisaukan, ibu bapa saya juga terkesan kerana saya sudah lama tidak pulang ke kampung,jadi mereka hubungi tanya keadaan saya” ujar Aziz.

Pelantun lagu Janji itu juga pernah berdepan dengan situasi dimana ada individu menghubunginya dan bertanyakan mengenai bagaimana dia mendapatkan keuntungan menerusi pelaburan bitcoin.

Pada masa sama, Aziz turut mengingatkan orang ramai supaya menyemak kesahihan sesuatu berita sebelum menyebarkannya.
“Pernah sekali ada seorang pak cik ini hubungi saya dan tanya saya pasal sudah kaya sebab Bitcoin. Tapi saya hanya jawab kalau benar saya kaya mungkin saya sudah tidak menyanyi.
“Mereka mungkin tidak begitu tahu mengenai Bitcoin, krypto dan sebagainya ini jadi mereka anggap berita itu adalah benar.

“Jadi dengan teknologi seperti AI, kita masih perlu ada nilai kemanusiaan. Jika nampak sesuatu yang meragukan, laporkan atau terus maklumkan kepada individu yang terlibat.

“Kita harus memastikan kebenaran sebelum menyebarkan sesuatu agar tidak menjadi penyumbang kepada berita palsu.” katanya.

Terdahulu, tular dakwaan bahawa Aziz Harun telah ditangkap dan akan dipenjarakan kerana terbabit dalam penipuan Bitcoin. Namun, penyanyi kelahiran Brunei itu menegaskan bahawa berita tersebut tidak benar sama sekali.

Aziz berharap agar masyarakat lebih bertanggungjawab dalam menilai dan menyebarkan maklumat, agar tiada individu lain menjadi mangsa fitnah seperti yang dialaminya.
#Scam #Aziz Harun #Bitcoin #AI #Berita Palsu