HIBURAN

Aziz Harun Selesa Menetap Di Kuala Lumpur, ‘Anytime’ Boleh Balik Brunei - “Lepas Habis Belajar Saya Terus Dapat Visa”

Asyikin Mayudin 21/06/2025 | 23:55 MYT
Penyanyi berasal dari Brunei iaitu Aziz Harun, 27, berkongsi dia sudah lebih dua tahun menetap di Kuala Lumpur.

Karier seni

Aziz atau nama sebenarnya Abdul Aziz Harun berkata dia selesa menetap di KL memandangkan persekitaran di Malaysia sentiasa positif dan juga pergerakan seninya lebih mudah.

“Sekarang saya sudah menetap di Kuala Lumpur, saya sudah mempunyai visa, rasanya sudah lebih dua tahun. Saya sukakan Malaysia.

“Alhamdulillah sekarang saya tak perlu lagi berulang alik, dan saya boleh fokus duduk di studio dan tulis karya-karya baru. Pada masa sama saya berharap boleh berkolaborasi dengan artis-artis di sini dan Indonesia.

“Saya memilih menetap di sini sebab di Brunei agak sukar untuk saya bekerja, semua benda kena melalui panggilan video, Whatsapp dan sebagainya.

“Malah nak berjumpa kawan-kawan media pun lebih mudah di sini, jadi itu sebab saya berpindah ke sini,” katanya.

Keluarga datang melawat

Pelantun lagu Janji ini berkata dia juga tidak mempunyai masalah untuk pulang ke Brunei pada bila-bila masa kerana penerbangan hanya mengambil masa dua jam.

“Keluarga saya pun selalu datang ke Kuala Lumpur dan melawat saya, jadi tiada masalah. Alhamdulillah selepas habis belajar saya terus dapat visa di sini, dan lagu-lagu yang saya buat di sini, Ketipak Ketipung Raya dan Janji juga menjadi.

“Momentum baik dan insyaAllah saya akan keluarkan single solo seterusnya,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Aziz bakal menjayakan Latihan Pestapora Malaysia yang akan berlangsung pada 26 Julai depan.

Aziz yang kali pertama menjayakan festival muzik sebesar itu berkata dia gugup tapi teruja untuk sama-sama memeriahkan Latihan Pestopora yang kali pertama dianjurkan di sini.

Artis Indonesia yang akan membuat persembahan adalah Feast, Hindia, Barasuara x Efek Rumah Kaca, Feel Koplo, Kunto Aji dan Pamungkas manakala artis tanah air pula seperti Bittersweet, Bunkface, Dolla, SonaOne, Salammusik dan ramai lagi.

#Malaysia #Brunei #Aziz Harun #Kuala Lumpur