Azlan Komeng Bagaikan Dapat Kaki Baharu, "Kini Boleh Berjalan Sepenuhnya -" Semuanya Asbab Minyak Nilam..."
Pelakon lagak ngeri Azlan Komeng tidak menyangka dia kini boleh berjalan sepenuhnya selepas disahkan lumpuh oleh doktor sejak mengalami kemalangan jalan raya Oktober tahun lalu.
Malah, Azlan kini boleh berjalan tanpa bantuan isteri, Nur Nilam Ortiz seperti sebelum ini.
Kata Azlan apa yang berlaku seperti satu keajaiban yang tidak disangka kerana dia juga mempunyai kekuatan untuk memandu.
"Saya sudah boleh bawa kereta dan boleh keluar untuk bantu Nilam berniaga.
"Keadaan kaki itu tidaklah sekuat mana, tetapi saya bersyukur sangat Tuhan beri peluang kepada saya untuk berjalan lagi. Macam dapat kaki baharu.
"Bagi saya tiga bulan untuk saya kembali berjalan memang bukan perkara mudah, tetapi ini semua atas keizinan Tuhan," katanya kepada Gempak.
Azlan yang tidak mahu menoleh ke belakang mengharapkan dia terus diberi kesihatan yang lebih baik.
"Allah... Saya tak tahu nak kongsi rasa bagaimana perasaan saya sekarang. Saya tak mahu lagi ingat pengalaman pahit itu. Doakan saya terus kuat dan sihat.
"Apa pun terima kasih kepada isteri saya yang banyak memberi sokongan dan menjaga saya sejak tak boleh berjalan sehingga saya boleh jalan.
"Bila saya bawa kereta, adakalanya saya tak sangka, betul ke saya yang memandu kereta. Rasa macam mimpi pun ada," ujarnya.
Bagaimanapun kata Azlan, dia kini masih mendapatkan rawatan di hospital selain berusaha merawat sakitnya dengan alternatif kampung.
"Untungnya saya ada isteri yang ada waktu saya susah. Dia (isteri) sanggup belajar buat minyak urut dan kerana asbab minyak itu juga yang membantu saya berjalan," jelasnya.
Tahun lalu, pelakon aksi dan watak jahat, Azlan Komeng, 48, patah kaki kiri selain cedera di muka, kepala, tangan dan kaki selepas terbabit dalam kemalangan di Kuala Lipis, Pahang, awal pagi kejadian kira-kira jam 2 pagi selepas kereta jenis Perodua Kancil dipandu Azlan yang turut dinaiki isterinya, Nur Nilam Ortiz dan anak mereka, Adam, 5, bertembung dengan trak polis.
Kejadian itu turut menyebabkan isterinya cedera di tulang rusuk, muka dan kepala akibat terhentak. Bagaimanapun, anak mereka tidak mengalami kecederaan.