Vokalis Caliph Buskers, Azmi Saat, 33, mengakui pendapatannya terjejas teruk sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dikuatkuasa mulai 18 Mac lalu.

Katanya dia kini terpaksa bergantung dengan pendapatan isterinya, Nazirah Muhammad yang berkhidmat sebagai penjawat awam untuk meneruskan kehidupan mereka.

Azmi atau nama sebenar Khairul Azmi Mohd Saat berkata pendapatannya memang terjejas teruk berikutan sebelum PKP lagi banyak tawaran persembahan nyanyian diterima sudah dibatalkan.

"Kalau dikira lebih daripada 10 tawaran persembahan saya dibatalkan. Justeru, kehidupan saya terasalah banyak berubah sejak PKP apabila pendapatan memang terjejas.

"Apatah lagi, selama ini saya dan juga rakan Caliph Buskers yang lain kami memang bergantung sepenuhnya dengan bermain muzik dan menyanyi.

"Namun, untuk saya mujurlah isteri bekerja dan dia ada pendapatan bulanan bagi menampung kehidupan kami. Cuma, ia tidak cukup untuk membayar bil-bil dan sewa rumah,” katanya.

Ditanya mengenai bantuan, Azmi berkata setakat ini dia ada menerima daripada Persatuan Bagi Orang Buta Malaysia (MAB) dan pada kalangan rakan artis.

"Bantuan diterima lebih kepada barangan keperluan makanan. Tetapi, realitinya saya dan kebanyakan rakan yang cacat penglihatan lain memerlukan juga kewangan.

"Pada masa sekarang, bantuan wang paling utama diperlukan ramai orang kerana nak bayar bil seperti elektrik, air dan telefon termasuk juga sewa rumah," katanya.

Azmi mendirikan rumah tangga dengan wanita pilihan, Nazirah juga cacat penglihatan pada 2011 dan mereka menetap di Brickfields, Kuala Lumpur.

Sumber: Harian Metro