Azmil Mustapha Sanggup Berhenti Kerja Besarkan 4 Anak Sebelum Berhijrah Ke Syria

Elrafaei Sapi
Julai 9, 2018 23:45 MYT
Ramai peminat tahu bagaimana pelakon popular Allahyarham Azmil Mustapha berhijrah daripada dunia glamor tapi tidak ramai yang tahu arwah juga seorang bapa yang penuh kasih sayang dan tabah membesarkan anak-anaknya seorang diri.
Menurut anaknya, Alya Iman, bapanya itu mengambil keputusan berhenti kerja untuk menjaganya yang ketika itu baru berusia 4 bulan bersama tiga adik-beradik yang lain sendirian.
"Dia bekerja keras di rumah untuk meraih pendapatan untuk memberi keperluan kami. Lima tahun dia berdoa pada Allah dan meminta petunjuk seterusnya, Allah memberikan jawapan dalam mimpi mengenai impiannya pergi ke Syria," katanya menerusi Instagram @alyimn, hari ini.
Ujarnya, bapanya sanggup melakukan apa yang terdaya untuk mendapatkan wang sehingga membawa tiga anaknya berpindah ke Damascus, Syria.
"Pada masa itu tiada siapa tahu di mana Syria, setiap orang fikir dia gila untuk ke sana tapi dia lakukan apa yang Allah berikan petunjuk," katanya.
Sambungnya, Azmil pada masa itu belajar agama dan budaya Arab. Pelakon popular menerusi filem Ali Setan ini juga tidak mempunyai pekerjaan untuk meraih pendapatan tapi percaya Allah sentiasa ada membantunya.
"Dia teruskan solat dan tidak berputus asa meskipun kami berdepan masa yang sukar yang perlu ditempuhi tapi ia suatu yang mencabar dan banyak perkara kami pelajari," katanya.
Alyimn memberitahu arwah bapanya dan dirinya sendiri suka menetap di Damascus yang digambarkan sebagai sebuah negara yang indah, mempunyai kebudayaan dan makanan yang sedap serta banyak memori bersama.
"Kami tidak mahu pulang ke Malaysia tapi selepas 6 tahun melalui kehidupan penuh mencabar, kami tiada pilihan meninggalkannya dan kembali ke Malaysia kerana peperangan baru bermula dan ia tidak selamat untuk kami terus tinggal di sana," katanya.
Teks oleh: Elrafaei Sapi
Foto: IG @alyimn
#Azmil Mustapha #Syria #Ali Setan