Jom Sertai Keluang Man Fun Run yang akan berlangsung pada 18 Mei 2025 dan berlari bersama Borhan! 
HIBURAN

“Babak Itu Cuma Trik Kamera, Ada Kru Sambut…” – Pengarah Dia Imamku Jelaskan Situasi Sebenar Adegan Tular Campak Budak

Umirah Halim 01/05/2025 | 13:38 MYT
Pengarah drama bersiri Dia Imamku, Feroz Khadir tampil memberikan penjelasan berhubung adegan tular melibatkan seorang pelakon lelaki yang dilihat mencampak seorang kanak-kanak ketika melakukan sebuah babak di set penggambaraan drama tersebut.
Menurut Feroz, video di sebalik tabir yang dimuat naik pihak tidak bertanggungjawab itu hanya memaparkan sebahagian daripada proses penggambaran.
Susulan itu, menyebabkan salah faham dalam kalangan warganet.
“Assalamualaikum, saya Feroz Khadir selaku pengarah drama Dia Imamku. Saya ingin jelaskan bahawa adegan yang dikatakan pelakon lelaki mencampak budak kecil itu sebenarnya adalah trik kamera semata-mata.
“Sebelum budak itu dibaling, kru produksi berada sangat dekat dan menyambutnya dengan selamat. Ketika penggambaran itu juga, ibu kepada kanak-kanak itu turut berada di set dan memerhati semua yang berlaku,” katanya dalam satu video.
Tambah Feroz, pihak produksi amat menitikberatkan aspek keselamatan pelakon terutamanya melibatkan kanak-kanak dan tidak akan sesekali melakukan adegan yang di luar kemampuan atau berisiko mencederakan mereka.
“Video itu tidak menunjukkan keadaan sebenar. Kami mohon maaf sekiranya ia menimbulkan reaksi negatif. Tapi saya harap penjelasan ini dapat meredakan salah faham yang timbul,” ujarnya lagi.
Terdahulu, sebuah video menunjukkan pelakon lelaki Farhan Asri, yang memegang watak Razak, seakan-akan mencampak seorang kanak-kanak menjadi tular dan mengundang pelbagai kecaman di media sosial.
Ada pengguna menyifatkan tindakan tersebut sebagai keterlaluan dan tidak wajar dilakukan walaupun dalam lakonan.
Sementara itu, penerbit drama berkenaan, Siti Rosmizah Semail, turut kesal dengan penyebaran rakaman tersebut yang menurutnya telah mencemarkan imej dan reputasi produksi mereka.
“Video itu tidak sepatutnya disensasikan. Tuduhan tidak berasas terhadap produksi ini amat mengecewakan,” ujar Siti Rosmizah.
Drama bersiri yang diadaptasi daripada novel popular karya Siti Rosmizah itu kini sedang ditayangkan di slot MegaDrama Astro Ria (Saluran 104).
#Budak #Campak #Dia Imamku #feroz