Pelawak Saiful Apek berkongsi foto paparan skrin kiriman mesej yang dihantar oleh seorang gadis berusia 21 tahun.

Dalam mesej tersebut, gadis itu bertanya khabar Saiful dan mengimbas kembali kebaikan pelawak itu 20 tahun yang lalu seperti yang diceritakan ibunya.

Menurut gadis berkenaan, Saiful bersikap baik terhadap semua pekerja sebuah kedai cenderamata yang disinggah di Kota Kinabalu, Sabah termasuk seorang wanita hamil.

Menariknya, bayi dalam kandungan ketika itu adalah gadis tersebut yang kini meniti usia remaja.

"Hello Uncle Saiful Apek, How are you?

"Kalau uncle ingat 20 tahun lalu, uncle pernah ada lakonan atau bercuti di Kota Kinabalu, Sabah dan singgah masuk satu kedai cenderamata.

"Salah seorang pekerjanya hamil iaitu ibu saya. Uncle minta staf lain untuk diam kerana bising teruja uncle masuk kedai itu. Uncle cakap "shhh...ada baby tengah tidur," sambil pegang perut ibu.

"Dan saya rasa uncle boleh agak, baby itu adalah saya. Masa ibu cerita dekat saya, saya sangat gembira dan beremosi.

"Dari cerita ibu, uncle sangat mesra dengan semua orang. Kalau uncle baca mesej ini saya hanya mahu cakap, hello uncle, saya dah membesar, untuk tahun ini saya dah 21 tahun dan semoga uncle sihat selalu okay!" tulis gadis itu.

Perkongsian Saiful di Instagram itu menarik perhatian para pengikut dan beberapa rakan artis.

Rata-rata mereka tersentuh dengan kisah gadis tersebut dan mendoakan kebaikan buat Saiful.

A post shared by SAIFUL APEK ®™ ?? (@saifulapek)