Viral
'Baby Sayang' Trending Kerana Mira Filzah, Apa Komen Empunya Diri?
Pelakon Mira Filzah sama sekali tidak menyangka sesi live chat Instagram sekitar awal Mei lalu menjadi tular di media sosial.
Malah, pelakon Pujaan Hati Kanda itu terkejut apabila perkataan dan sedutan rakaman live chat itu diguna secara meluas termasuk golongan selebriti.
Sekali gus, 'baby sayang' menjadi kata-kata yang menjenamakan Mira Filzah.
Mengulas mengenai fenomena 'baby sayang', kata Mira, dia menganggap penularan video dan perkataan 'baby sayang' adalah sesuatu yang bermanfaat dan dipandang daripada sudut positif.
"Viral boleh jadi baik dan buruknya, macam saya sendiri, sesi live chat itu saja dibuat bagi mengisi masa lapang.
"Malah, jawapan itu pun muncul secara rawak di luar kotak fikiran saya. Tak terfikir pun ia akan menjadi viral.
"Nak kat saya buat-buat, rasanya tidaklah. Itu pun hanya sembang kosong bersama peminat ketika itu.
"Mungkin ada hamba Allah yang menyunting sesi live chat itu dan memuat naik semula di media sosial sampai jadi trending!
"Malah, perkataan itu digunakan secara meluas termasuk golongan selebriti sendiri. Sampai ada yang jadikan ia kapsyen. Saya harap ia satu perkara yang baik," katanya kepada Gempak.
Mira yang ditemui pada majlis iftar dan perlantikan sebagai wajah rasmi kempen Ramadan-Raya Lancome di pusat beli-belah Sogo, Kuala Lumpur akui teruja atas pembabitannya.
"Saya khusus untuk pink rose series dan kempen Ramadan-Raya Lancome tahun ini.
"Mereka kata saya punyai ciri-ciri 'girl next door', orang senang untuk mendekati dan berkomunikasi dengan saya terutama golongan wanita muda," katanya yang menjalin kerjasama selama enam bulan bersama jenama kosmetik antarabangsa itu.