“Bad Genius? Drama Ini Lebih Kepada Feel Korea & ….” - Pengarah Dedah Elemen ‘Next Level’ Projek: Anchor SPM
Pengarah Projek: Anchor SPM mendedahkan drama bersiri premium terbaru itu bakal membawa banyak elemen dan vibes daripada negara Korea.
Menurut Razaisyam Rashid, drama Astro Originals itu dihasilkan dengan teliti bagi memastikan kualitinya setanding dengan drama bersiri premium lain.
Jelasnya, terdapat beberapa elemen Korea serta lokal yang diterapkan dalam drama berkenaan.
“Secara visualnya drama ini lebih kepada korean drama atau k-drama. Ada few yang kita buat reference.
“Selain itu kami juga merujuk kepada drama Kami jika penonton masih ingat.
“Banyak elemen dan perencah dalam Projek: Anchor SPM.
“Saya rasa tak salah pun kita merujuk kepada Korea memandangkan mereka jauh lebih maju, siap menang Oscars lagi.
“Lagipun ia lebih dekat dengan orang asia,” katanya.
Jelasnya, kesemua rujukan yang diambil itu sekali gus menyangkal dakwaan orang ramai yang Projek: Anchor SPM meniru Bad Genius dari Thailand.
“Memang tak ada langsung Bad Genius sebenarnya dalam kepala kami.
“Jika ambil reference kami cakap je buat apa nak selindung. Macam saya sebelum ini pernah buat remake k-drama iaitu Black.
“Jadi saya cakap je itu remake, tiada masalah. Tapi kali ini kita ada chance untuk buat sendiri,” katanya.
Untuk rekod, Projek: Anchor SPM mengisahkan tentang sekumpulan pelajar tingkatan lima di Sekolah Tengku Isa Anuar (STIA) di Cameron Highlands, yang merupakan sebuah sekolah berasrama penuh berprestij.
Isu mula tercetus apabila Aizat lakonan Aedy Ashraf terdesak cuba mencari jalan mendapatkan keputusan 8A dalam peperiksaan percubaan SPPM.
Aizat akhirnya berjaya bersekongkol dengan Aaidaa (Daiyan Trisha), dan menghasilkan sebuah pelan untuk membantu rakan- rakan seluruh tingkatan mereka cemerlang SPM melalui strategi meniru besar-besaran.
Drama ini turut dilakonkan oleh Nadhir Nasar (Hilmi), Chubb-E (Botol), Shasha Abedul (Jaja) serta nama-nama besar dalam industri seni tempatan seperti Adlin Aman Ramlie, Hasnul Rahmat Tony Eusoff dan Susan Lankester.
Apapun, saksikan ‘Projek: Anchor SPM akan ditayangkan di saluran Astro Citra pada jam 9.00 malam, bermula 15 Mac ini.
Untuk pilihan alternatif, penonton juga boleh strim di platform Astro GO atau On Demand. Ikuti info dan klip-klip menarik menerusi akaun Instagram, Facebook, Twitter Astro Gempak dan Astro Shaw.