Layan Gempak Non-Stop Live hari ini selama 12 jam! Kumpul kata kunci & menang hadiah menarik di sini
Laman Utama

"Badan Menggeletar, Menangis & Tak Boleh Tidur" - Sarimah Ibrahim Pernah Berdepan Kemurungan Selepas Bersalin

Azwa Rahman 10/09/2021 | 12:40 MYT
Penyanyi dan pengacara Che Puan Sarimah Ibrahim mendedahkan dia pernah berdepan dengan masalah kemurungan yang teruk selepas melahirkan anak sulungnya Tunku Sofia Najihah, 2, pada tahun 2019.
Menurut Sarimah, itulah pertama kali dia mengalami masalah kemurungan tersebut sepanjang bergelar anak seni dan ia sangat menakutkan.
“Saya mengalami masalah menggeletar badan, menangis, saya tak boleh tidur, tak boleh tidur dan tak dapat pegang anak saya pun. Saya hilang harapan waktu itu. Waktu itu memang saya fikir saya dah tak waras.
“Bila saya bercakap dengan doktor, mereka tenangkan saya. Mereka kata kemurungan selepas melahirkan ini dialami oleh ramai wanita yang bergelar ibu tetapi mereka tidak bercerita mengenai masalah itu.
“Sekurangnya saya meminta bantuan pihak yang lebih pakar sebelum saya buat sesuatu yang lebih teruk.
“Saya menjalani kaedah rawatan secara holistik, di mana saya pegi kaunseling, saya makan ubat, pergi jumpa ustaz dan sebagainya tapi apa yang paling penting, jangan sesekali putus harapan.
“Enam bulan masa yang diambil untuk sembuh tetapi sehingga kini saya terus menjalani kaunseling untuk emotional dan mental maintenance,” ujarnya kepada Gempak.
Sarimah ditemui bersama komposer dan penyanyi Damian Mikhail sewaktu majlis pelancaran lagu dan muzik video Harapan bersempena Hari Pencegahan Bunuh Diri Sedunia yang disambut pada setiap 10 September, sebentar tadi.
Lagu bertemakan R&B pop berjudul Harapan ini merupakan hasil ciptaan Damian dan dinyayikan oleh Sarimah serta Damian sendiri.
Lagu ini ditujukan khas buat mereka yang sedang di dalam kebuntuan dan permasalahan emosi supaya tidak berputus asa.
Menurut Sarimah yang juga pengasas bersama dan duta bagi kempen #StandForHope menegaskan tanpa adanya kesihatan mental seseorang individu, maka tiadalah kesihatan rakyat yang sebenarnya.
“Penjagaan kesihatan mental sangat penting bagi setiap individu dan saya sangat risau dengan kesihatan mental rakyat Malaysia sekarang. Tetapi saya dengan penuh harapan yakin kita boleh jaga kita sekiranya kita semua ambil tahu dan ambil berat pada tindakan dan emosi kawan-kawan.
“Saya berharap agar semua dapat meminta bantuan dan tidak mengalami diskriminasi sama ada di sekolah, di tempat kerja, bersama kawan-kawan, di mana sahaja mereka berada.
“Setiap orang yang sedang berjuang dengan minda dapat merasakan sekurangnya mereka tidak keseorangan dan bantuan itu sentiasa ada,” ujarnya lagi.
#Damian Mikhail #Sarimah Ibrahim #Hari Pencegahan Bunuh Diri Sedunia #Lagu Harapan
;