Jutawan kosmetik, Datuk Seri Dr. Muhamad Ruslan Shah mendedahkan dia telah menyepikan diri selama lebih setahun ekoran kegagalan dalam bisnes.

Kata Ruslan, dek kerana terlalu percayakan kakitangannya, dia telah menghadiahkan 100 buah kereta mewah namun hampir semuanya bertindak menikamnya dari belakang.

"Bertahun-tahun saya jaga mereka tetapi secara berkumpulan mereka tinggalkan saya.

"Sesiapa sahaja yang berada di tempat saya akan tahu betapa sedihnya saya rasa.

"Saya pernah hadiahkan mereka 100 buah kereta mewah namun semuanya melarikan diri. Hanya 40 buah sahaja yang saya dapat balik," katanya ketika ditemui pada majlis pelancaran single Ku Tak Akan Menyerah di One Utama, Petaling Jaya semalam.

Bagaimanapun, Ruslan kembali bangkit apabila dipujuk keluarganya berkali-kali dan menghasilkan sebuah single baru berjudul Ku Tak Akan Menyerah.

"Setahun saya mendiamkan diri kemudian keluarga saya pujuk untuk bangun semula.

"Kemudiannya, saya terdetik untuk mencipta sebuah lagu seperti lagu perjuangan.

"Maka, terhasillah lagu Ku Tak Akan Menyerah berdasarkan pengalaman hidup saya sendiri dan mungkin ada juga yang melalui situasi sama seperti saya," tambahnya.

Lagu Ku Tak Akan Menyerah mendapat sentuhan oleh Adi 6ixthsense dan lirik ditulis sendiri oleh Ruslan bersama Emma Rockers.

Muzik video Ku Tak Akan Menyerah turut dilancarkan serentak dengan lagu single itu.


Foto: Maestro Media