Pelbagai komen dapat dilihat sebaik sahaja peserta Big Stage 2022, Iqbal Zulkefli menjadi peserta pertama yang tersingkir daripada pertandingan tersebut.

Baik netizen mahupun juri, masing-masing mempunyai pendapat berbeza terhadap pesohor yang mula dikenali selepas kisah cintainya bersama Datuk Seri Vida dijaja banyak pihak sejak tahun lalu itu.

Begitupun, bagi penyanyi popular, Aina Abdul selaku Juri Juara Big Stage 2022, penglibatan Iqbal dalam program yang meletakkan penyanyi-penyanyi baharu BBNU itu dilihat sebagai satu hal yang berani.

“Bagi saya dia bijak. Namun, saya sendiri tidak tahu macam mana dan kenapa dia boleh menyertai program ini. Saya tidak mahu katakan persembahan Iqbal teruk, tapi kalau nak banding dengan yang lain, kebolehannya jauh ke bawah.

“Begitupun, apa saja objektifnya, saya boleh katakan dia seorang yang bijak. Dia juga tahu nak gunakan peluang yang ada. Bagi saya, that’s really brilliant,” katanya kepada Gempak.

Menurut Aina, dia sangat hormati keberanian Iqbal dan berpendapat yang dia sendiri tidak akan berani jika diminta untuk berbuat demikian.

“Jujurnya, saya salute pada Iqbal sebab dia berani sedangkan saya tidak akan menjadi seberani itu. Sebagai contoh, kalau diminta untuk sertai Maharaja Lawak, saya tidak akan buat sebab saya sedar yang saya tidak lawak.

“Justeru untuk Iqbal, tak kisah komen seperti apa yang awak terima, namun, saya tahu awak mesti kuat, ‘lali’ dengan semua komen,” pesan Aina kepada Iqbal.

Dalam pada itu, Aina memberitahu yang para peserta memiliki semangat yang kuat, khususnya ketika berhadapan dengan juri usai membuat persembahan.

“Kalau sayalah berada di atas pentas itu, rasanya saya tak kuat macam mereka. Nampaknya, mereka masih boleh lagi senyum.

“Kalau saya dengar komen pedas juri terhadap peserta, saya pandang tempat lain. Tak sanggup nak tengok sebab saya boleh rasa apa yang mereka rasa,” katanya lagi.

Terdahulu, Iqbal diumumkan sebagai peserta pertama yang disingkirkan daripada Big Stage 2022.

11 peserta yang bertanding untuk minggu seterusnya ialah Tuah Adzmi, Aisha Retno, Yazmin Aziz, Daniel Chuer, Elica Paujin, Lia Aziz, Megat Rahim, Sofiaa Marieylla dan Ajoi Zainal.

Juara Big Stage 2022 akan membawa pulang wang tunai bernilai RM100 ribu beserta trofi sumbangan Astro.