Laman Utama
“Bahagian Tubuh Mana Yang Tak Sakit? 10 Tahun Semua Sakit…” – Elyana Harap Diberi Peluang Sihat
Bait-bait lagu berjudul Sepi yang dicoretkan penyanyi Elyana di akaun Instagram menyentuh hati para pengikutnya.
“Sepi hati... Terjadi lagi… Mungkin sampai mati… Aku sepi...” tulisnya pendek
Tidak hanya coretan, malah Elyana juga turut membuat luahan hati menerusi posting di ruangan Insta Story miliknya semalam.
Menurut Elyana, dia berharap masih diberi kesempatan untuk merasai nikmat kesihatan.
“Sakit yang tak pernah surut… Terbaring dalam bilik… Sambil dengar suara anak… Kau nak tapi tidak ada daya…
“Semoga aku diberi peluang untuk merasa sihat… Masih adakah peluang?
“Tenaga keluar bagaikan air mengalir, menahan sakit itu penat. Lalu ku paksakan diri untuk kuat demi mereka.
“Doa dan kata-kata semangat menjadi energy booster. Kuat, nyatanya aku masih tidak… Aku bohong…
“Ya. Aku bohong. Aku bohong untuk terlihat kuat. Aku bohong supaya mereka yang aku sayang tidak risau. Lelah… Bohong itu sangat melelahkan…
“Allah Maha baik. Hari ke sehari kebohongan menjadi realiti. Kekuatan yang aku lakonkan menjadi sebati dalam diri.
“Bahagian tubuh mana yang aku tak sakit? ‘Semua sakit’… 10 tahun… Semua sakit…” coretnya.
Dalam pada itu menerusi ruangan komen di hantaran lagu Sepi, selain titipan doa, rakan-rakan selebriti dan peminat juga turut memberikan kata-kata semangat buat Elyana supaya tidak putus asa melawan penyakit.
Sebelum ini, Elyana memaklumkan nekad menjalani rawatan radioterapi untuk kesembuhan penyakit kanser dialami.
Elyana juga memberitahu perlu melakukan rawatan radioterapi sebanyak 10 sesi dan harus menghadapinya dengan cekal hati berikutan berat badan semakin merosot.
Terdahulu, Elyana membuat pendedahan menghidap kanser limfoma tahap empat pada 2017.
Elyana dan Khairul Anuar mendirikan rumah tangga pada 2010 dan dikurniakan cahaya mata, Cinta Sumayyah, 10, dan anak angkat, Cahaya Ramadhani yang kini berusia dua tahun.
Must-Watch Video