Raikan Wira Wonda Kita! Kongsikan kisah inspirasi wira anda & menangi wang tunai RM10,000

Bahaya! Buah Pinggang & Sistem Saraf Mungkin Boleh Rosak Jika Guna 3 Produk Ini!

Hanafis Haris
10/06/2020 09:33 MYT
Isu produk kosmetik yang mengandungi racun merkuri nampak gayanya belum berakhir apabila tiga produk dikesan menggunakan bahan terlarang itu.

Perkara itu didedahkan oleh Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah menerusi satu kenyataan rasmi semalam.

Menurutnya, Kementerian Kesihatan (KKM) menasihati orang ramai supaya mengelak daripada membeli dan menggunakan tiga produk kosmetik yang dikesan mengandungi racun berjadual iaitu merkuri, yang boleh memudaratkan kesihatan.

"Tiga produk berkenaan ialah Glow Skin White-Brightening Cream, Glow Skin White-Sun Care dan Rzac Beauty Creme 2.

"Notifikasi produk kosmetik yang terlibat telah dibatalkan dan penjualan produk kosmetik berkenaan tidak lagi dibenarkan di negara ini," katanya.

Jelasnya, merkuri dilarang di dalam produk kosmetik kerana boleh memudaratkan kesihatan.

"Ia boleh diserap masuk ke dalam badan dan menyebabkan kerosakan buah pinggang dan sistem saraf.

"Bahan berkenaan juga boleh mengganggu perkembangan otak kanak-kanak yang masih kecil atau belum dilahirkan serta menyebabkan ruam, iritasi dan perubahan lain pada kulit," katanya.

Sehubungan itu, penjual dan pengedar produk-produk kosmetik ini diminta menghentikan penjualan dan pengedaran produk kosmetik tersebut serta-merta.

Difahamkan, penjualan dan pengedaran produk kosmetik itu adalah melanggar Peraturan-Peraturan Kawalan Dadah dan Kosmetik 1984.

Sumber: Bernama

#Cantik #KKM #Merkuri