Jom undi InilahHeroKITA 2024 yang memberikan inspirasi melalui media sosial sekarang! 

Bahaya Urutan Tengkuk Di Kedai Gunting, Lelaki Ini Merana Seumur Hidup

Azwa Rahman
12/04/2019 10:18 MYT
Kalau anda ke kedai gunting rambut, pasti anda akan diberikan urutan tengkuk seusai rambut anda siap dicantas.

Ditepuk-tepuk kepala dan dipusing ke kiri dan ke kanan hingga ada bunyi 'crak', rasanya memang lega.

Namun menurut Facebook Public Health Malaysia, urutan tengkuk yang selalu anda buat selesai menggunting rambut itu sebenarnya merbahaya.



Berkongsi satu kejadian yang berlaku, seorang lelaki india berusia 54 tahun mendapatkan perkhidmatan gunting rambut dan selepas menggunting rambut, tukang gunting memberikan servis tambahan urutan kepala dan tengkuk.

Malang buat lelaki ini, selepas urutan itu, dia mengadu sukar untuk bernafas dan dikejarkan ke hospital dengan segera. Pemeriksaan MRI mendapati, terdapat kecederaan serius di tulang tengkuk mangsa.

Kecederaan ini menyebabkan saraf phrenic iaitu saraf yang berfungsi untuk mengawal diagrama iaitu sejenis otot yang membantu pernafasan telah tercedera.

Lelaki malang tersebut terlantar di hospital untuk tempoh masa yang lama dan perlu menggunakan alat bantuan pernafasan sepanjang hayat.

Apa yang sebenarnya terjadi bila anda mengurut tengkuk?

Di tengkuk manusia itu mengandungi tulang tulang, sendi, otot dan saraf yang boleh mengalami kecederaan kekal hingga mengakibatkan kecacatan untuk jangka masa panjang apabila ia cedera.

Oleh sebab itu, urutan tengkuk di kedai gunting itu bukan perkara main-main kerana ia boleh mengundang pelbagai kecederaan. Urutan tengkuk juga boleh menyebabkan saluran darah di tengkuk tercedera. Dalam kecederaan yang lebih serius, ia boleh mengakibatkan pendarahan dan strok.

Tengkuk adalah satu struktur yang stabil, tetapi sebarang manipulasi keterlaluan dan pergerakan yang terlalu kasar boleh mendatangkan kecederaan kekal.
 
#Kesihatan #Kedai gunting #Urutan