Meskipun diuji dengan penularan pandemik COVID-19 ketika ini, kumpulan Bahiyya Haneesa berazam mahu menyuntik semangat kepada orang ramai untuk menikmati keindahan Ramadan menerusi nyanyian terbaru mereka iaitu Harapan Ramadan & Iman Mutiara Versi Acapella.

Mereka berharap agar lagu ini mampu memberi pedoman ketika orang ramai sedang berhadapan detik sukar ekoran krisis COVID-19 yang melanda.

Menurut ketua kumpulan ini iaitu Wafa, pemilihan dua lagu itu digabungkan untuk dinyanyikan semula begitu bermakna buat mereka sendiri.

“Selepas mendapati musim COVID-19 ini menunjukkan peningkatan yang agak membimbangkan di seluruh dunia, kami memilih lagu Harapan Ramadan untuk meniup semangat ramai.

“Lagu ini juga berbentuk doa agar Ramadan kali ini disambut semua semua umat Islam dengan lebih rasa syukur dan membawa sinar yang baharu.

"Iman Mutiara pula dipilih untuk menambah lagi kesinambungan keberkatan Ramadan," katanya.



Berbeza dengan penyanyi asal Raihan, Haneesa sememangnya berdepan cabaran sendiri untuk menyuntik elemen kewanitaan dalam lagu ini.

“Sebagai kumpulan wanita, Haneesa jadikan penghasilan lagu ini sebagai cabaran disebabkan ia karya daripada kumpulan terkenal Raihan.

"Seperti biasa, apa yang kami praktikkan adalah untuk melaraskan kunci lagu daripada kunci asal agar sesuai dengan laras vokal kami.

"Selain itu, kami turut berusaha sedaya upaya memberi penghayatan yang sempurna serta mendapatkan mood sepenuhnya seperti yang disampaikan penyanyi asal,” katanya lagi.

Kumpulan acapella ini terdiri daripada 10 pelajar Universiti Malaya iaitu Wafa Amira, Waheeda Batrisyia, Nurul Amaninah, Nor Suhaida, Nor Afiqah, Nur Fatin, Fatin Nasuha, Saidatul Syahirah, Siti Nabilah, dan Azra Afiqah.

Mereka pada mulanya tampil sebagai kumpulan nasyid, namun kini semaki terbuka mencuba muzik yang lebih versatil dan pelbagai.

Harapan Ramadan & Iman Mutiara Versi Acapella sudah boleh dimuat-turun di iTunes dan dinikmati menerusi semua platform penstriman muzik terpilih antaranya Apple Music, Spotify, Deezer, JOOX Music, KKBox.