Pelakon terkenal Indonesia, Baim Wong telah diserbu oleh sekumpulan peminat ketika berkunjung ke Dusun Degaran, Karangdowo Klaten, Indonesia baru-baru ini.

Menerusi laporan media di Indonesia, kunjungan Baim ke kampung itu telah mendapat sambutan hangat sehingga pihak berkuasa harus mengawal keselamatan kerana bimbang akan penularan wabak COVID-19.

"Sambutan orang Klaten terhadap kedatangan Baim sangat luar biasa, dia telah diserbu oleh peminatnya.

"Perkara itu telah membuatkan pihak berkuasa turun untuk mengawal keadaan, kerana wabak COVID-19 masih menular, begitulah keadaan artis bertaraf idola di negara ini," kata seorang individu yang dikenali sebagai Tomblo Gelo.

Menerusi tinjauan Gempak, sebuah video menunjukkan situasi itu telah dikongsi di laman Facebook Kabar Bayat Klaten.

Perkara tersebut turut mengundang rasa kurang senang netizen yang menganggap golongan berkerumun itu tidak mengamalkan penjarakan sosial.

Baim mengunjungi kawasan itu untuk menghantar seorang penduduk, Gandung Ariharteja yang menyahut cabaran berbasikal ke Jakarta untuk bertemu pelakon kegemarannya itu.

Difahamkan, kunjungan dari pihak Baim yang melibatkan 15 orang kru itu telah mematuhi aspek kesalamatan dan SOP untuk mencegah penularan wabak COVID-19.

Sumber : detik.com