HIBURAN
Baim Wong Tak Peduli Diboikot Kerana Didakwa Hasut Anak Benci Isteri
Pelaku seni Indonesia, Baim Wong mengaku tidak ambil peduli apabila sedar ada dalam kalangan peminat yang mula memboikot dirinya kerana dituduh menghasut anak-anak membenci isteri, Paula Verhoeven.
Peminat juga meminta agar karya-karya dan kerja bapa dua anak itu turut diboikot sebagai tanda menyebelahi pihak Paula.
Daripada bercakap tentang isu tersebut, Baim lebih senang berbicara soal rezeki. Bagi Baim semua rezeki datang daripada Allah.
“Semua rezeki itu datang dari Allah. Buat apa kita mahu melayan, yang penting kita tahu kita tidak salah,” ungkap Baim Wong tegas saat ditemui di Pengadilan Agama Jakarta Selatan seperti dilaporkan InsertLive.
Baim juga mengaku dirinya serba salah kerana sering menjadi sasaran apabila mendiamkan diri ataupun membuat penjelasan mengenai isu rumah tangga dengan Paula yang dalam proses perceraian ini.
“Sebenarnya saya bukan tidak mahu speak up (bercakap). Saya diam salah, saya bicara salah. Itu yang selalu saya alami.
“Jadi saya bingung sebenarnya harus speak up atau tidak. Sama seperti sekarang, saya salah atau tidak melakukannya, hanya bismillahirrahmanirrahim saya melakukan ini atas izin Allah,” katanya lagi.
Untuk rekod, Baim telah memfailkan perceraian terhadap Paula pada 7 Oktober tahun lalu dengan alasan isterinya curang.
Bagaimanapun sehingga kini perceraian mereka belum disahkan dari segi undang-undang kerana gagal mencapai kesepakatan.
Must-Watch Video