Tular di media sosial apabila seorang pemuda bernama Hamzah Alek berkongsi dua keping foto menyarung baju Melayu berwarna merah jambu yang punyai poket terbalik di bahagian belakang.

Kata Hamzah, 36, baju Melayu itu dijahit oleh ibunya, Saliah Koden, 57, dan dihantar ke rumahnya untuk dicuba baru-baru ini.

"Sebelum cuba pakai lagi saya dah ketawa seorang diri apabila melihat baju itu. Mak saya tanya kenapa?

"Saya tanya balik, mak apa silapnya baju ini? Cuba lihat kocek depannya mana?

"Kocek ini salah sebab dijahit di belakang! Terus kami sekeluarga ketawa terbahak-bahak," ceritanya kepada Gempak.

Hamzah yang kini berada di kampungnya di Sarawak bagaimanapun tidak menyangka perkongsian di akaun Facebooknya itu tular dan dikongsikan ramai di media sosial.

Bagaimanapun jelas Hamzah, dia tidak berniat untuk memperlekehkan sesiapa sebaliknya sekadar hiburan peribadi.

"Saya hairanlah tiba-tiba baju Melayu saya jadi bualan ramai. Ramai yang tanya siapa jahit, kenapa jadi begitu dan adakah saya akan pakai masa raya?

"Sebenarnya saya itu hanya masalah teknikal, mungkin sebab mak saya pun sudah tua dan nak siapkan tempahan banyak. Kadang-kadang fikiran pun bercelaru.

"Apapun, saya bukan nak buka aib sesiapa terutama tukang jahit. Itu cuma perkongsian peribadi sahaja dan baju itu sudah dibetulkan dan akan dipakai untuk hari raya pertama nanti.

"Nampak gaya baju Melayu poket belakang PKP saya tahun ini ada kenangan yang melucukan dan takkan dilupakan," tambahnya.

Ibunya yang sudah 30 tahun menjahit sering menyiapkan tempahan baju raya keluarganya sabah tahun selain mengambil upah jiran-jiran berdekatan.

Kata Hamzah, kisahnya itu banyak mencuit hati ramai dan tiada satu pun komen yang negatif ditulis netizen di akaun Facebooknya.

"Ramai yang melawak, nanti simpan duit raya dekat poket belakang senanglah budak-budak nak cilok!" kongsi Hamzah lagi sambil tertawa.