Hiburan
Bakal Ada 1 Bas Penari, Kak Ani Perlukan RM8 Juta Untuk Konsert Sulung September 2020!
Sambutan Hari Malaysia tahun ini lebih bermakna apabila bakal diserikan lagi dengan persembahan konsert ratu irama tradisional, Noraniza Idris!
Bercerita lebih lanjut mengenai konsert sulungnya pada September nanti, kata penyanyi yang lebih popular disapa Kak Ani itu pihaknya kini sedang mencari dana berjumlah RM8 juta.
"Apabila konsert berkonsepkan irama tradisional dan etnik kreatif, pastinya memerlukan kos yang tinggi.
"Tambah pula konsert itu akan disertai dengan festival selama tujuh hari.
"Jadi, ia sedikit berlainan kerana adanya pecahan-pecahan tertentu. Dianggarkan program ini akan menelan belanja RM8 juta secara keseluruhan," katanya kepada Gempak.
Kak Ani yang ditemui selepas Konsert Visit Malaysia 2020 di Istana Budaya baru-baru ini memberitahu pihaknya sedang berusaha mencari jalan untuk mendapatkan tajaan daripada organisasi tertentu.
"Saya tak nak jadi macam hamba seni jadi saya cuba susun sebaik mungkin dan sempena Tahun Melawat Malaysia 2020, saya nampak laluan itu cuma tak diluahkan lagi secara rasmi, baru dalam peringkat kertas kerja untuk memohon bantuan kewangan.
"Saya percaya pada rezeki Allah dan tak mustahil ada laluan untuk saya tahun ni.
"Perancangan untuk konsert itu sudah ada cuma saya tak berani berkongsi lebih mendalam buat masa sekarang," ujarnya.
Sempena konsert sulungnya itu, Kak Ani bakal mengadakan sesi ujibakat bermula Februari depan untuk mencari 32 orang artistari profesional sebagai tulang belakang konsert terbabit.
Malah, Kak Ani akan melibatkan Orkestra Tradisional Kebangsaan (OTM) untuk mengiringi persembahannya nanti.
Sepanjang usia 30 tahun Kak Ani dalam industri hiburan tempatan, konsert pada 11 dan 12 September 2020 di Istana Budaya bakal menjadi konsert meganya kali pertama.