Penyanyi dan komposer kelahiran Singapura, Imran Ajmain bakal beraksi dalam sebuah konsert mini Sepuluh Tahun Pertama di Studio Recital, Esplanade, Singapura pada 13 Julai ini.

Bakal mempersembahkan rangkaian lagu popularnya, Imran juga akan mengadakan slot khas sebagai tribute untuk arwah bapanya, Ahmad Husaini Ajmain yang merupakan penerbit, penyusun muzik dan penggubah lagu terkenal untuk penyanyi era 80-an.

Populariti arwah bapa Imran mengharum indah selepas bekerjasama dengan nama-nama besar industri seni seperti Othman Hamzah, Sweet Charity, Salwa Abdul Rahman, Salimah Mahmood, Azean Irdawaty dan ramai lagi.

"Selain menyanyikan lagu saya sendiri, saya merancang satu kelainan untuk konsert mini tersebut.

"Sebuah slot khas bakal dipersembahkan oleh saya sebagai tribute serta memberi apresiasi tertinggi buat arwah bapa," katanya.

Selain itu, lagu-lagu terbaharu Imran juga bakal didendangkan semasa konsert mini ini termasuk Sentiasa Merinding dan Intan & Perak.

Untuk rekod, Imran yang pernah menghasilkan lagu buat Taufik Batisah, SleeQ, Hady Mirza dan ramai lagi sebelum ini.

Telah melancarkan empat buah album, album kelima Imran sedang direncanakan untuk pelancaran dijadual penghujung tahun ini.

Tiket berharga 27SGD (RM80) boleh dibeli dengan menghubungi Esplanade Box Office di talian (65) 68288389 atau emel [email protected].

Sementara itu, para pelajar dan golongan senior pula boleh mendapat diskaun dengan harga 21SGD (RM63).

Teks: Kamaruddin Razal
Foto: Instagram Imran