Penyanyi nombor satu negara, Datuk Seri Siti Nurhaliza mengakui ramai pihak yang masih memujuk dan mendoakan dia tampil untuk menyanyikan lagu Anta Permana di Anugerah Juara Lagu ke-34 (AJL34) yang bakal berlangsung pada 9 Februari ini.

Menurut Siti, dia juga menerima permintaan peminat yang mahu dia berduet dengan Bob Yusof menyanyikan lagu terbabit di pentas AJL34 kelak.

"Ramai yang minta dan pujuk saya nyanyikan Anta Permana di AJL, termasuklah Bob dan pencipta lagu ini, Hael Husaini dan Ezra Kong. Malah, siap ada yang mendoakan agar saya terbuka hati.

"Sehingga ke saat ini, keputusan saya untuk tak menyampaikan Anta Permana lebih banyak, 80 peratus. Ada juga yang beri cadangan, mahu saya berduet dengan Bob di pentas akhir.

"Setakat ini, saya sendiri tak berani nak cakap. Wallahualam... Kita tengok sahaja apa yang akan terjadi nanti," katanya.





Siti ditemui di sambutan ulang tahun kelahirannya yang diadakan bersama dengan majlis ulang tahun ke-16 penubuhan kelab peminat Sitizone di Magica Hall, Star Avenue, Subang.

Dalam pada itu, Siti akan memberikan sokongan sepenuhnya terhadap lagu Anta Permana.

"Walaubagaimanapun, saya akan tetap memberikan sokongan yang tidak berbelah bahagi kepada lagu Anta Permana, kepada Bob serta penciptanya, Hael dan Ezra.

"Terima kasih juga kepada kelab peminat saya yang selama ini tidak berhenti menyokong lagu Anta Permana.

"Mereka membawa karya ini ke satu tempat yang tersendiri. Tak kira siapa yang menyanyikannya, mereka tetap memberikan sokongan padu," katanya.