Penyanyi terkenal Indonesia, Afgan mendedahkan Konsert Inspirasi Afgan Live in Kuala Lumpur adalah konsert skala besar terakhir sebelum dirinya berehat panjang.

Menurut Afgan atau nama sebenarnya Afgansyah Reza, dia ingin mencari idea baru untuk keluar dari zon selesa.

“Sejak menceburkan diri dalam bidang seni, sedekad lalu, saya sangat sibuk dengan kerja studio, persembahan dan konsert, di dalam mahupun luar negara.

“Saya mahu berehat seketika kerana mahu mencari idea baru dan keluar dari zon selesa selepas hampir sebelas tahun berkarya tanpa henti.

“Ia juga konsert skala besar terakhir kerana hampir setiap tahun saya menjayakan persembahan untuk peminat di Malaysia.

“Bulan depan, saya akan terbang ke Amerika Syarikat bagi menyiapkan album terbaru yang memuatkan karya berbahasa Inggeris.

"Jika saya tidak berehat sekarang, mana mungkin album ini dapat disiapkan?

“Bagaimanapun, peminat tidak perlu bimbang kerana saya bukan menetap terus di AS. Sekali-sekala, saya tetap akan pulang ke Indonesia," katanya kepada Gempak.

Afgan ditemui ketika majlis sidang media Konsert Inspirasi Afgan Live In Kuala Lumpur 2019 yang diadakan di Common Ground, Menara Ken TTDI, Kuala Lumpur semalam.

Tambah penyanyi lagu Terima Kasih Cinta ini, dia berminat untuk bekerjasama dengan penyanyi bertaraf antarabangsa, Yuna.

"Saya merupakan peminat Yuna dan sangat kagum dengan hasil kerjanya.

"Sudah pastinya saya teringin bekerjasama dengan dia, malah kami pernah berbincang mengenainya sebelum ini dan berharap ia dapat direalisasikan.

“Selain Yuna, saya juga teringin untuk bekerjasama dengan Bruno Mars dan Justin Timberlake kerana aliran muzik kami selari,” katanya lagi.

Konsert anjuran Popcorn Studio Sdn Bhd bakal diadakan pada Sabtu, 5 Oktober 2019 di HGH Convention Centre yang turut menampilkan Datuk Sheila Majid.

Tiket yang sudah 75 peratus terjual masih boleh didapati menerusi www.proticket.com.my/inspirasi2019-afganliveinkualalumpur.

Tiket dijual pada harga RM299 (Silver), RM399 (Gold), RM599 (VIP) dan RM1,200 (sesi meet & greet).