Kumpulan dari Indonesia, MukaRakat sedang menyiapkan sesuatu yang istimewa buat para peminatnya.

Namun, kumpulan yang dianggotai Lipooz, A'Chi, D'Flow, DirtyRazkal dan DJ GeraMar ini tampil dengan 'pemanas' terlebih dahulu menerusi sebuah single berjudul UNDOGEZE.

UNDOGEZE merupakan satu perkataan yang diambil dari dialek daerah Larantuka, Nusa Tenggara Timur, Indonesia.

Apa yang pasti, kumpulan ini mahu menyampaikan mesej tentang semangat mereka yang berkobar-kobar dalam mencapai cita-cita.

Lipooz dan rakan-rakannya mengambil inspirasi dari arena Hip Hop Amerika yang terdahulu dan salah satu lagu Ludacris telah menjadi sumber inspirasi mereka menghasilkan single ini.

Bercakap mengenai proses pembikinan, MukaRakat mengatakan single ini sebenarnya sudah siap pada hujung tahun 2019 ketika wabak COVID-19 mula tersebar di China.

"Lagu ini betul-betul siap pada akhir tahun 2019, ketika masalah virus Covid-19 mula tersebar di China tapi belum masuk ke Indonesia. Kami bahkan membawakan lagu ini secara langsung ketika kami membuat persembahan di Malaysia pada tahun 2020," kata mereka.

Bagaimanapun, disebabkan keadaan yang tidak dijangka, single ini hanya dapat dilancarkan secara rasmi tahun ini.

UNDOGEZE merupakan bingkisan untuk semua peminat yang setia menyokong MukaRakat sejak awal penubuhan, hinggalah kumpulan ini mendominasi arena Hip Hop malah menjadi antara kumpulan Hip Hop terkemuka di Indonesia.

Dengarkan UNDOGEZE daripada MukaRakat di semua platform muzik digital pilihan anda!