Bakal Berjauhan Selama 3 Bulan, Mira Filzah Sediakan Kelas Aktiviti Untuk Anak
Asyikin Mayudin
07/08/2023 09:55 MYT
07/08/2023 09:55 MYT
Demi menjayakan penggambaran sebuah filem lakonan terbaharunya berjudul Munajat Kekasih, pelakon Mira Filzah terpaksa berjauhan dengan anaknya, Wan Khair Amir selama 3 bulan.
Biarpun sedih untuk berjauhan, namun Mira berkata dia sudah menyediakan beberapa aktiviti untuk anaknya agar tidak berasa sunyi.
"Saya memang berasa sedih kerana bakal berjauhan dengan anak tetapi ia komitmen kerja yang perlu dilakukan sebagai pelakon. Tapi saya ada sediakan pelbagai aktiviti untuk Amir agar dia tak rasa sunyi.
“Sebab kalau saya cuti lama, hampir seminggu itu Amir ada beberapa kelas yang saya hantar untuk lakukan aktiviti. Bila saya ada masa, saya bawa dia pergi kelas berenang la, play class la, macam-macam la.
“Itu yang saya risau macam mana, bila saya tak ada langsung di rumah ni takut dia sunyi sebab dia memang sukakan aktiviti,” kata Mira kepada Gempak.
BACA SINI: Mira Filzah Nampak Potensi Anak Dalam Bidang Komersil, Pertimbang Jadi Duta – “Bergantung Kepada…”
Mira ditemui pada majlis memperkenalkan menu baru BurgerMira selaku duta Secret Recipe yang berlangsung di Alamanda, Putrajaya baru-baru ini.
Berkongsi mengenai filem Munajat Kekasih pula, kata Mira, dia bakal beraksi sebagai heroin dalam filem arahan Osman Ali itu.
"Buat masa ini, saya masih mengikuti kelas lakonan selama satu hingga dua minggu dengan pelakon dan pengarah berkaliber Elly Suriaty.
"Selepas kelas lakonan ini selesai, baru kami akan memulakan penggambaran filem ini yang membabitkan lokasi di Kelantan dan Terengganu sekali gus berkampung selama tiga bulan di sana," katanya.
Untuk rekod, pelakon yang menempa nama menerusi drama Pujaan Hati Kanda ini berkahwin dengan Wan Emir Astar Wan Mohamad Khair-il Anuar, 33, pada 3 September 2020.
Hasil perkongsian hidup, mereka dikurniakan seorang anak lelaki, Wan Khair Amir yang dilahirkan pada 10 Mei tahun lalu.