Hiburan

Bakal Bermula 10 Jun, Adakah Penggiat Seni Sudah Bersedia Mematuhi Segalanya?

gempak
Badrul Hashim
05/06/2020
01:45 MYT
Sponsor Banner
Bakal Bermula 10 Jun, Adakah Penggiat Seni Sudah Bersedia Mematuhi Segalanya?
Baru-baru ini Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri mengumumkan bahawa kerajaan telah membenarkan aktiviti penggambaran filem, drama, iklan dan seumpamanya untuk beroperasi bermula 10 Jun ini.
Menurut Ismail Sabri lagi, walaupun sudah dibenarkan, aktiviti penggambaran mestilah mematuhi Prosedur Operasi Standard (SOP) yang telah ditetapkan seperti penjarakan sosial, penjagaan kebersihan, tidak berhimpun secara beramai-ramai dan sebagainya.
Ramai penggiat seni menyambut baik keputusan tersebut dan menganggap sudah masanya mereka kembali bekerja untuk mencari rezeki. Namun, di antara yang tidak sabar untuk kembali bekerja, masih ada yang curiga dengan keadaan semasa ketika ini.
Wabak Covid- 19 bukan wabak biasa, tetapi pendamik yang berlaku di seluruh dunia dan masih belum mempunyai vaksin untuk mengubatinya. Wabak yang tidak dapat dilihat dengan mata kasar dan juga masih kabur tentang asal usulnya menjadikannya satu virus yang sangat merbahaya.
Sebelum ini, pelakon terkenal Nabila Huda pernah meluahkan pendapatnya tentang kelulusan melakukan penggambaran ketika wabak Covid- 19 belum ada penyudahnya, di akaun Twitter milik beliau.
Nabila meluahkan rasa bimbang tentang pihak produksi dan mereka yang terlibat, sama ada mereka mampu untuk memenuhi sepenuhnya SOP yang ditetapkan.
"Kalaulah kita dibenarkan untuk kembali shooting kena mengikut SOP, bagaimana hendak berlakon dengan cara normal baru? Tidak logik, bukan tidak bersetuju.
"Jika mahu bersolek, kena ada sentuhan sesama sendiri sedang kita tak boleh nak bersalaman pun. Kalau ada babak sakit lumpuh, perlukan pelukan dari suami atau anak, bagaimana mahu ada penjarakan sosial?" tanya Nabila.
Saya cuba mendapatkan Nabila Huda untuk bertanya lebih lanjut tentang pendiriannya ketika 10 Jun semakin menghampiri, namun tidak mendapat sebarang jawapan.
Saya juga mengambil peluang untuk berbual melalui telefon dengan tiga orang pelakon terkenal tanah air untuk mengetahui pendapat mereka tentang perkara ini.

Perlu Ada Insuran

Pelakon Sharifah Amani turut menyuarakan rasa bimbang kerana ketika ini masih belum ada vaksin untuk wabak Covid- 19. Menurut Amani, lakonan bukanlah sekadar kerja, tetapi merupakan kehidupan dirinya. Tetapi dia memerlukan sesuatu jaminan yang penting sebelum kembali ke lokasi.
"Sebelum wabak Covid- 19 melanda pun, terlalu sukar bagi gelintir pihak untuk mengikuti dan melaksanakan SOP yang sedia ada untuk para pelakon, seperti pakaian, barangan, penyediaan makanan dan yang sepatutnya dijaga.
"Kini, pihak produksi bukan sahaja perlu menjaga SOP yang telah ditetapkan oleh pihak kerajaan, tetapi juga menetapkan SOP mereka sendiri seperti penyediaan insuran kepada pekerja, sama ada pelakon mahupun kru yang terlibat," kata Amani tentang pentingnya SOP dalam normal baru.
Menurut Sharifah Amani lagi, mereka perlu betul-betul prihatin dan telus dengan SOP yang dibuat. Berulang kali dia menegaskan soal insuran kepada para pekerja seni yang terlibat.
"Insuran kena ada kerana kita tidak ada undang-undang perihal kesenian. Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) pun baru saja diwujudkan. Kita agak ketinggalan kerana jika berlaku sebarang masalah, apa yang kita dapat buat hanyalah bawa ke mahkamah dan jadi kes sivil.
"Kalau undang-undang tersebut tidak ada, maka perlu disediakan insuran untuk memastikan keselamatan bukan sahaja kepada pekerja, tetapi kepada keluarga mereka dan masyarakat sekeliling," tambah Amani.
Menurut Sharifah Amani, semua orang mahu keluar bekerja demi kelangsungan hidup tetapi tahap SOP yang sangat ketat perlu dipatuhi dan normal baru juga perlu dilaksanakan demi mematuhi SOP yang ditetapkan.
"Saya bagi contoh, SOP memerlukan penjarakan sosial dan tidak boleh berkumpul dengan ramai. Ini bermakna jumlah kru terpaksa dikurangkan untuk mematuhi SOP tersebut.
"Apabila jumlah kru dikurangkan, mereka yang bekerja terpaksa melakukan lebih daripada satu tanggungjawab seperti penjaga konti juga perlu menjaga perihal pakaian. Jadi mereka ini perlu dibayar gaji setimpal dengan dua atau lebih tugasan yang dibuat. Jangan kerana hanya ikut SOP, tetapi kru pula terpaksa menanggung beban kerja tanpa imbuhan setimpal," kata Amani.
Amani juga berharap pihak kerajaan, FINAS, stesen-stesen televisyen, pihak-pihak produksi dan semua yang terlibat supaya bertanggungjawab memastikan perlaksanaan SOP yang ditetapkan diberi perhatian serius.
"Hanya kerana seorang yang lalai, semua orang terlibat boleh dijangkiti, dan bila saya katakan semua orang, saya maksudkan bukan sahaja dalam produksi tersebut tetapi juga keluarga mereka, masyarakat sekeliling dan seluruh rakyat Malaysia.
"Saya ingin kembali ke lokasi kerana saya juga memerlukan duit untuk menyara hidup. Saya pasti akan paranoid dengan segala keadaan tetapi saya terpaksa, demi kelangsungan. Lakonan adalah hidup saya, bukan sekadar bekerja, tetapi kita masih 'struggle'... masih berjuang," kata Amani menamatkan bicara kami.

Jangan Lupa Tentang Trauma

Bagi pelakon Sangeeta Krishnasamy, dia masih belum bersedia untuk kembali berlakon dalam tempoh terdekat ini biarpun kerajaan sudah membenarkan penggambaran bermula 10 Jun.
"Jujur saya katakan saya belum bersedia tetapi saya juga tidak boleh pentingkan diri sendiri kerana ramai kru yang benar-benar memerlukan pekerjaan. Sebagai pelakon di Malaysia, kita tidak dibayar besar, apatah lagi pihak kru jadi mereka sangat memerlukan kerja.
"Tetapi kita perlu membantu pihak kru untuk mematuhi SOP dengan betul. Saya bimbang jika untuk beberapa hari pertama kita akan ikut SOP yang ditetapkan, tetapi keletihan bekerja sehingga berbelas-belas jam sehari mungkin membuatkan mereka sukar untuk mengikuti SOP," luah Sangeeta.
Terang Sangeeta, bukanlah sesuatu yang mudah untuk mematuhi segala SOP kerana kontak adalah terlalu rapat, walau hanya untuk mematuhi penjarakan sosial.
"Ianya sukar tetapi kita harus melakukan sesuatu dengan mencari jalan membolehkan kru-kru di belakang tabir kembali bekerja. Pekerjaan mereka bukan tetap, tetapi secara kontrak dengan satu-satu penggambaran jadi tiada pendapatan yang stabil.
"Mereka memang menunggu masa untuk kembali bekerja tetapi bolehkah kita memperkemaskan SOP? Jurumekap akan ada kontak dengan semua pelakon, begitu juga dengan penata rambut. Mereka yang menyediakan makanan juga sama, tetapi yang saya senaraikan ini juga memerlukan pekerjaan. Jadi bagaimana SOP untuk mereka?" tanya Sangeeta sedikit musykil.
Tambah Sangeeta lagi, itu hanya dipermukaan sahaja. Ramai yang tidak sedar kesan trauma bagi penggiat seni yang terpaksa tinggal di rumah selama tiga bulan ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dijalankan tanpa pendapatan dan pekerjaan.
"Tiga bulan berada di rumah dengan masalah memikirkan soal pendapatan, dengan berita-berita kematian oleh wabak Covid- 19, dengan berkurung lagi, semua ini secara tidak langsung menimbulkan trauma pada seseorang.
"Bila berlaku trauma terutamanya dari segi mental, maka akan berlakulah perkara-perkara seperti hilang sabar di set penggambaran, lakonan pelakon juga mungkin terjejas, kepenatan kerana kurang tenaga kerja membuatkan kru juga mudah melenting dan banyak lagi," jelas Sangeeta.
Perkara tersebut penting kerana ianya terjadi pada dirinya sendiri. Menurut Sangeeta, ketika kali pertama keluar dari rumah selepas beberapa lama berkurung, dia berasa sangat takut dan trauma dengan keadaan sekeliling.
"Namun saya tetap menyambut baik keputusan kerajaan demi mereka yang bekerja di belakang tabir. Setiap kali berlakon, mereka ini saya anggap seperti keluarga sendiri kerana mereka sentiasa ada di sekeliling saya ketika penggambaran.
"Tetapi semua orang tahu ada perkara yang tidak dijangka sentiasa berlaku ketika penggambaran. Amat penting untuk kita menjaga SOP sesama kita pada setiap penggambaran.
"Pada yang mampu, kita boleh menyumbangkan penutup hidung dan mulut, pencuci tangan dan sebagainya ketika penggambaran. Kita kena jaga antara satu sama lain. Kita juga kena gunakan 'common sense' untuk menjaga keselamatan diri," tambah Sangeeta lagi.
Menurutnya, sebelum Covid- 19, sememangnya sentiasa ada banyak cabaran ketika melakukan sesuatu penggambaran, dan kini dengan wabak yang melanda seluruh dunia, cabaran tersebut menjadi lebih besar.
"Kerajaan dan Kementerian Kesihatan Malaysia sangat bagus untuk memastikan rantaian wabak pembunuh ini semakin berkurangan.
"Jadi kita mesti menjadikan tanggungjawab kita untuk memastikan perkara yang sama di set penggambaran. tunjukkan contoh yang bagus kerana penggiat seni juga merupakan orang yang berpengaruh kepada mereka di luar sana," kata Sangeeta lagi.

Semua Perlu Dengar

Pelakon Datin Diana Danielle ternyata gembira dengan keputusan kerajaan untuk mebenarkan penggambaran bermula kembali kerana untuknya, lakonan adalah hidupnya.
"Saya gembira dengan berita tersebut tetapi tidak bermakna saya ingin terus berlakon tanpa memikirkan risikonya. Saya perlu lihat dulu bagaimana produksi-produksi yang akan melakukan penggambaran menjalankann SOP yang ditetapkan.
"Ketika ini masih belum ada vaksin untuk Covid- 19, bermakna setiap seorang daripada kita akan terdedah dengan wabak ini dan jika tidak mengambil langkah-langkah yang sepatutnya, lebih ramai lagi yang akan dijangkiti dengan virus tersebut," kata Diana.
Menurut Diana, dia menyokong keputusan kerajaan tersebut kerana tidak ramai orang yang mempunyai pilihan untuk tidak pergi bekerja demi menyambung kehidupan.
"Kalau anda mempunyai pekerjaan dan bekerja dari rumah, anggaplah anda seorang yang sangat beruntung. Tidak semua orang mempunyai peluang tersebut ketika ini.
"Kita tidak boleh menjatuhkan hukuman bahawa mereka mahu mati hanya kerana mereka ingin keluar bekerja. Siapa yang ingin mati dan siapa yang mahu sakit? Mereka keluar bekerja kerana tidak mahu mati. Mereka ingin kerja untuk terus hidup," kata Diana.
Namun begitu Diana juga berharap pihak produksi perlu mengikut normal baru dalam menghasilkan karya-karya mereka supaya tiada SOP yang tidak dipatuhi.
"Kalau anda penulis skrip, jika menulis babak terjatuh, tidak perlulah ada orang lain menyambutnya. Biarlah babak tersebut dia jatuh bersendirian.
"Begitu juga dengan pelakon, jika anda rasa tidak selesa dan tidak selamat tentang satu-satu babak, beritahu pada pengarah dan perkara tersebut sepatutnya terus diubah demi memastikan keselamatan semua," terang Diana sebagai contoh kepada normal baru penggambaran.
Menurut Diana, semua pihak perlu ada perbincangan terbuka, bermula daripada pihak atasan seperti penerbit dan pengarah, hinggalah kepada pelakon dan kru untuk memastikan keselamatan semua pihak terjaga.
"Semua perlu dengar terutamanya pihak atasan dan jangan ambil mudah walaupun apa yang disuarakan tersebut hanya datang daripada kru bawahan. Jangan pekakkan telinga kerana nyawa semua berada di tangan anda.
"Untuk watak mudah, pelakon boleh melakukan solekan sendiri. Jika tidak mahu makan makanan yang disediakan, anda juga boleh siapkan bekalan dari rumah dan makan dalam kereta. Itu tanggungjawab sendiri yang perlu dijaga dan jangan hanya berharap pada orang lain sahaja." tambah Diana.
Kata Diana lagi, sebagai pekerja 'freelancer' yang tidak terikat dengan mana-mana syarikat, menjadi tanggungjawab sendiri untuk memastikan diri sihat sebelum masuk ke set penggambaran.
"Tengok bagaimana pada awalnya ramai frontliners yang terdiri daripada doktor dan jururawat bertugas terpaksa bertarung nyawa akibat jangkitan Covid-19 kerana ramai pesakit yang menipu tentang sejarah pulang daripada luar negara.
"Tolong jangan jadi seperti mereka. Anda perlu jujur dan bertanggungjawab dengan tahap kesihatan diri sendiri. Jangan hanya tunggu orang lain sediakan. Anda sendiri perlu ada penutup hidung dan mulut, hand sanitizer, dan perlu menjaga tahap kebersihan diri sebelum dan selepas pulang dari set," kata Diana yang menegaskan tentang pentingnya tanggungjawab terhadap diri sendiri.
Tambah Diana lagi, jika di peringkat awal kelulusan yang diberikan oleh pihak kerajaan ini ada berlakunya kes positif Covid- 19 di set penggambaran, tidak mustahil segala bentuk penggambaran akan diharamkan untuk tempoh yang lebih lama.
"Gunalah insuran yang ada untuk membuat ujian Covid- 19 bagi memastikan anda betul-betul sihat sebelum kembali bekerja. Dengan cara itu, kita masing-masing menjaga kesihatan diri sendiri, dan pada masa yang sama kita juga mahu memastikan kita sihat untuk bekerja," kata Diana mengakhiri bicara.
Kesimpulannya, setiap pekerjaan perlu mengikut SOP yang ditetapkan. Mungkin ada yang lebih ketat berbanding pekerjaan yang lain, tetapi ianya penting dan wajib dilaksanakan bagi memastikan wabak ini tidak terus merebak.
Kepada yang bakal memulakan penggambaran mulai 10 Jun nanti, pastikan industri seni tempatan dapat terus bergiat dalam normal-normal baru yang perlu dipatuhi kerana itulah cara hidup kita sekarang.
Topic Berkaitan
Must-Watch Video
Gempak Most Wanted Awards 2024