Masa Depan, Pilihanmu. Daftar Sekarang!

Bakal Bersalin Hujung Mac, Nadia Aqilah Terima Soalan Fasal Nama Anak; “Ramai Kata Mesti Letak Nama Ramadan Atau Puasa…”

Shahrin Zulkifle
22/01/2023 03:00 MYT

Usia kandungan yang sudah memasuki lapan bulan, pelakon Nadia Aqilah menjelaskan keadaan perutnya yang sarat ketika ini menuntutnya untuk tidak mengambil sebarang tawaran berlakon.

Malah jelas Nadia atau nama lengkapnya, Nadia Aqilah Bajuri, 38, dirinya hanya mahu meluangkan masa dengan banyak bersama anak sulungnya, Senja Aqilah sebelum dia dijangka melahirkan anak kedua pada Mac depan.

“Lagi dua bulan sahaja saya akan bersalin anak kedua, waktu yang tak lama lagi. Due date bersalin saya jatuh pada 27 Mac ini, beberapa selepas kita mula berpuasa.

“Untuk berlakon sekarang ini saya dah start berehat dan tak ambil mana-mana tawaran dahulu. Ini saya anggap sebagai tempoh bertenang buat saya sebab sekarang adalah masa untuk saya spend time dengan anak sulung saya, Senja.

“Senja pun macam tahu dia akan dapat adik, nampak gaya dia teruja juga,” katanya kepada Gempak.

Nadia ditemui ketika malam gala tayangan filem terbaharunya berjudul Eva yang berlangsung di Dadi Cinema, Pavilion Kuala Lumpur baru baru ini.

A post shared by Miss Nadia, that's me ? (@missnadiaaqilah)

Berkongsi mengenai pengalaman hamil kali kedua, aktres tersebut berkata dia masih mengalami simptom morning sickness yang sama ketika hamilkan Senja.

“Saya morning sickness setiap hari, muntah-muntah yang agak banyak juga. Sama sahaja macam hamilkan Senja dulu. Tapi saya reda je, memang begitu kan kalau mengandung,” tambahnya.

Sementara itu, Nadia sempat berkongsi beberapa gurauan yang diterima daripada orang terdekat mengenai nama bakal anak keduanya itu yang ada kaitan dengan bulan Ramadan.

“Bila saya bagi tahu kawan dan keluarga yang saya akan lahir bulan puasa, ramai pula yang bergurau kata nanti saya mesti letak nama Ramadan atau Puasa, terhibur saya dengar tapi tidak la begitu kot,” ujarnya lagi.

Untuk rekod, Nadia telah mendirikan rumah tangga bersama pasangan pilihan iaitu Saiful Ridzuan pada April 2018. Hasil perkongsian hidup mereka telah dikurniakan seorang cahaya mata sulung bernama Senja Aqilah yang kini berusia empat tahun.

***
Selain Nadia Aqilah, Eva turut dibintangi pelakon tanah air seperti Nadia Brian, Shamsul Danish, Ako Mustapha, Shaiza Ruzaini, Tony Yusoff dan ramai lagi.

Bakal ditayangkan pada 26 Januari 2023, filem ini mengisahkan tentang 3 individu berbeza iaitu Eva, Amy dan Mike yang terperangkap di dalam satu badan yang sama. Eva sebagai pemilik tubuh terpaksa berdepan dengan pelbagai perubahan. Setiap watak yang berada di dalam badannya mempunyai personaliti yang berbeza akibat daripada kejadian trauma yang dialaminya sejak dia mash kanak-kanak.

Eva merupakan mangsa gangguan seksual sejak kecil lagi sehingga dia mengalami trauma menyebabkan dia mengalami masalah kesihatan mental yang dipanggil sebagai DID atau Dissociative Identity Disorder. Dalam erti kata lain boleh dikategorikan sebagai Split Personality.

Miqal, anak kepada Eva dilahirkan selepas kejadian trauma Eva berlaku dengan bantuan Elly, kakak kepada Eva. Mereka cuba memahami dan membantu Eva sehingga Eva berjaya bergelar sebagai seorang peguam dan pakar psikiatri yang dihormati. Bagaimanapun, perasaan dendam yang menyelubungi di dalam diri Eva membuak-buak dan banyak mengubah dirinya dari semasa ke semasa. Akhirnya keadaan semakin tidak terkawal sehingga Miqal menolak untuk menerima keadaan tersebut.

Undi bintang digital dan content kegemaran Top 5 anda di Gempak Most Wanted Awards 2022 di sini.

#Bersalin #Hamil #Mengandung #Nadia Aqilah #Filem Eva
;