Selebriti kontroversi, Azwan Ali, mengesahkan akan bertanding sebagai calon Bebas pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) demi menentang abangnya yang juga Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali.

Azwan ketika dihubungi BH Online berkata, keputusan bertanding itu dibuat susulan sokongan banyak pihak, terutama peminat setianya dalam memastikan perjuangan menewaskan Azmin, menjadi kenyataan.

Azwan yang dikenali sebagai Diva AA, mendakwa akan bertanding di mana sahaja, kerusi Parlimen atau Dewan Undangan Negeri (DUN) yang akan ditandingI Azmin.

"Saya berjuang atas prinsip dan perjuangan untuk menewaskan Azmin. Ini adalah satu tugasan dan amanah yang mungkin orang lain tak mampu nak buat.

"Walaupun dikecam menjatuhkan darah daging sendiri, terpulanglah, kerana saya lebih mengenali dia," katanya.

Azwan antara individu yang lantang mengecam Azmin, selain pernah membuat laporan berhubung dakwaan salah guna kuasa dan rasuah kerajaan Selangor kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) pada Disember tahun lalu.

Azmin adalah penyandang kerusi Parlimen Gombak dan DUN Bukit Antarabangsa yang dimenanginya sejak 2008.

Mengulas lanjut, Azwan juga tidak menolak menggunakan strategi bersifat peribadi bagi menewaskan Mohamed Azmin, dengan mendakwa dia menyimpan banyak rahsia abangnya.

Untuk perkembangan lain, jangan lupa untuk menyaksikan Astro Awani (Saluran 501) untuk mengetahui berita terkini mengenai Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).

Sumber: BH Online