Borak & chill dari isu semasa ke topik viral. Tonton rancangan bual bicara di SeeNI sekarang!

Bakal Cikgu Handsome Ini 'Bertapa' 10 Jam Dalam Studio - "Nafas Semput Sebab Baru Sembuh COVID-19"

Amri Hassan
11/12/2021 11:50 MYT
Berada di dalam studio rakaman selama 10 jam merupakan antara pengalaman baharu yang dilalui oleh penyanyi Aliff Iskandar ketika merakamkan lagu Takdir pertengahan tahun ini.

Ketika itu keadaan kesihatannya kurang baik disebabkan baru sahaja pulih daripada jangkitan Covid-19 dan menyebabkan dia perlu mengambil masa sedikit lama berbanding kebiasaan.

"Memang waktu itu keadaan kesihatan belum pulih sepenuhnya tapi saya perlu merakamkan lagu ini. Sebenarnya keadaan kesihatan saya baik-baik sahaja tetapi pernafasan sedikit terganggu membuatkan proses rakaman menjadi lama.

"Tapi keadaan tersebut tidak memberikan kesan kepada hasil rakaman dan saya gembira dapat melunaskan tanggungjawab merakamkan lagu Takdir. Alhamdulillah segalanya berjalan dengan lancar seperti yang dirancang," katanya yang masih menuntut dalam jurusan muzik di Maktab Perguruan Ilmu Khas, Kuala Lumpur ini.

Tambah pemilik nama sebenar Nor Aliff Iskandar Norazmi , 21, itu lagi, dia beruntung apabila banyak dibantu oleh penerbit lagu ini, Rudy Nastia sepanjang proses rakaman berlangsung.

Lagu Takdir merupakan lagu hasil ciptaannya sendiri mana kala lirik pula merupakan tulisannya juga bersama dengan Jaja Ishak. Lagu yang berkisahkan tentang hubungan cinta yang tidak kesampaian.

"Apabila menulis lirik Takdir pada peringkat awal, saya membayangkan sebuah perhubungan. Adakah hubungan itu berakhir dengan kegembiraan atau pun sebaliknya.

"Semua orang mampu merecanakan hubungan apa yang mereka mahukan tetapi pada akhirnya takdir juga yang akan menentukan ke mana hubungan tersebut berjalan," jelas calon top 20 kategori BBNU Meletop sempena Anugerah Meletop Era 2021 itu lagi.

Menariknya, lagu ini juga akan dijadikan runut bunyi untuk sebuah drama tempatan yang akan ditayangkan bermula 20 Disember ini.

Dia bersama Jaja Ishak membuat beberapa pindaan bagi menyesuaikan dengan jalan cerita drama tersebut namun tidak jauh tersasar daripada kisah asal seperti yang dibayangkan.

"Memang saya bersyukur apabila lagu ini dipilih untuk menjadi runut bunyi bagi drama berkenaan. Sebagai orang baharu, saya gembira apabila pihak produksi percaya kepada bakat dan hasil kerja. Ini memang pengalaman yang manis untuk penyanyi seperti saya," kata Aliff yang popular dengan lagu PERIT sebelum ini.

Pembikinan video muzik (MV) Takdir turut dibintangi oleh pelakon Intan Najuwa dan Haridz Suhaile yang juga merupakan salah seorang bakat baharu yang sedang meningkat naik.

Untuk rekod, Takdir merupakan terbitan Jaja Ishak Channel dengan kerjasama Indigital Music dan Alternate Records. Lagu ini sudah boleh didengari di semua platform digital dan muzik video Takdir boleh ditonton melalui Youtube Indigital Music mulai 9 Disember 2021.

#Penyanyi #Viral #Drama #Lagu #OST #Takdir #Aliff Iskandar #Studio
;