Berita tentang pernikahan penyanyi Haqiem Rusli yang bakal diadakan pada hari esok mencetuskan pelbagai respons dalam kalangan netizen.

Ada yang menerima perkhabaran tersebut dengan gembira, dan ada juga yang terkejut selepas Haqiem mengumumkan tentang tarikh pernikahannya pada majlis Anugerah Bintang Popular Ke-34 (ABP34) baru-baru ini.

Sungguhpun identiti bakal isteri Haqiem masih lagi menjadi tanda tanya, namun, media tempatan melaporkan gadis berusia 19 tahun bernama Wan Anis Sofea Wan Zamzuri dikatakan bakal menjadi suri hati hidup penyanyi berkenaan.

Difahamkan, Anis Sofea mula bertemu dan berkenalan dengan Haqiem atas urusan perniagaan. Anis Sofea juga merupakan pengasas dan rakan kongsi perniagaan restoran makan Santhai Village bersama Haqiem.

Sungguhpun dilihat sama padan, namun, ada mempersoalkan usia perkahwinan Anis yang dirasakan masih terlalu awal.

“Awalnya kahwin ek... Iolss umur-umur macam ni dulu excited masuk U, enjoy dengan kawan-kawan and travelling. Langsung tak terfikir nak kahwin... huhu... anyway, tahniah la diknun dan selamat pengantin baru,” tulis seorang netizen menerusi platform forum hiburan.

“19 dah kahwin dik? Sudah jodohnya. Moga berkekalan. Hebat eh 19 tahun dah bukak restoran dengan artis,” tulis seorang lagi pengguna yang turut memuji kesungguhan Anis membangunkan perniagaan bersama Haqiem.

Difahamkan, busana perkahwinan bakal raja sehari ini direka oleh Razman Razmi sementara pereka Rizman Ruzaini pula mereka busana untuk majlis resepsi.

Selain itu, Haqiem turut menghadiahkan sebuah lagu untuk bakal isterinya dan lagi tersebut berjudul Hitam Saksi Putih.

***Untuk kemaskini berita terkini, cepat & mudah, langgan saluran Telegram Gempak!
Dah mengundi artis kegemaran korang di AME 2021? Klik banner di bawah untuk mengundi!