Hiburan
Bakal Jadi Hos Karpet Merah Oscars Di Los Angeles, Nabil Gementar
Pelawak dan pengacara Nabil Ahmad akui gementar untuk menjadi hos karpet merah Anugerah Akademi ke-89 (Oscars) di Los Angeles (LA) pada 27 Februari ini.
Pun begitu, Nabil berkata dia teruja kerana julung kalinya diberi peluang mengacara dalam anugerah bertaraf antarabangsa sebegitu.
"Bila terima tawaran ini memang lah saya amat bersyukur kerana ini peluang yang besar untuk saya dan karier pengacaraan saya.
"Gementar tu memang ada tetapi terus-terang saya sangat teruja dan tak sabar untuk ke sana," katanya kepada Astro Gempak.
Nabil bakal bersiaran langsung dari LA khas untuk tontonan eksklusif Oscars di St Regist, Kuala Lumpur.
Tontonan eksklusif secara langsung itu turut dihadiri oleh selebriti tempatan seperti Raianna Abdul Rahman, Syazwan Zakariah, Hisyam Hamid, Zarul Umbrella, Mark Adam, Wafiy, Awang, Jamal Jamaluddin, Akhmal Nazri dan Kamal Adli.
Bercerita mengenai persiapan, Nabil berkata dia kini banyak menonton filem-filem yang tercalon dalam Oscars.
"Pada acara itu nanti, saya akan mengacara dalam dua bahasa iaitu campur bahasa Melayu dan Inggeris.
"Buat masa ini saya sedang menonton filem-filem yang tercalon dalam Oscars untuk pengetahuan mengacara nanti," katanya lagi.
Acara karpet merah Oscars turut akan bersiaran scara langsung di HBO saluran 431 dan Astro On The Go pada jam 8 malam dan acara gemilang Oscars pada jam 9 malam, 27 Februari ini.
Teks Oleh: Syafiqah Jalal