Bakal Lancar Lagu Baru, Aliff Syukri Bimbang Dikecam Lagi

Asraf Aided
Oktober 17, 2018 06:01 MYT
Usahawan popular, Datuk Seri Aliff Syukri menyatakan hasrat untuk melancarkan single terbarunya tidak lama lagi.
Perkara itu dikongsi menerusi sebuah entri di akaun Instagram miliknya.
Namun menurut Aliff, dia berasa bimbang tentang penerimaan netizen terhadap single itu memandangkan lagu nyanyiannya bersama Nur Sajat dan Lucinta Luna berjudul Bobo Di Mana sebelum ini menerima kecaman hebat.
"Sebenarnya saya 'nervous' nak kongsikan perkara ini, lagu ini saya sudah rakam tiga bulan lebih awal dari lagu Bobo Di Mana.
"Lagu ini adalah hasil kerjasama dengan seorang komposer terkenal Malaysia yang kini menetap di Eropah.
"Saya berasa amat sedih dengan kecaman yang diterima terhadap lagu Bobo Di Mana, jadi patutkah saya lancarkan lagu terbaru ini?" tulisnya di ruangan kapsyen.
Sebelum ini, ada segelintir pihak yang menyifatkan video muzik lagu Bobo Di Mana sebagai 'soft porn' disebabkan penampilan seksi yang dipamerkan.
Dalam perkembangan lain, syarikat jenama D'Herbs milik Aliff telah menjadi penaja utama program Gegar Vaganza musim kelima (GV5).
Bersiaran selama lapan minggu, GV5 boleh disaksikan secara langsung di saluran Astro Ria (104) dan Ria HD (123) pada setiap Ahad jam 9 malam.
Layari laman web www.gegarvaganza.com.my untuk segala informasi lanjut mengenai GV5.
#Aliff Syukri #GV5 #Gegar Vaganza 5