Kumpulan muzik yang diterajui empat pemuda iaitu Insomniacks membuktikan mereka masih laku dan relevan apabila telah disambar syarikat rakaman Universal Music.

Difahamkan, ‘jodoh’ Insomniacks selama empat tahun dengan syarikat rakaman lama tidak panjang apabila kontrak mereka ditamatkan awal tahun ini.

Menurut seorang daripada ahli Insomniacks Wan Arif Iskandar, tawaran diterima syarikat rakaman Universal Music Malaysia itu satu penghormatan buat mereka.

“Sejujurnya, kami berasa bangga selain menyifatkan ia satu penghormatan. Umum mengetahui, Universal Music mempunyai kredibiliti yang baik, berpengalaman luas serta mempunyai ramai artis berbakat dan dikenali.

“Pada masa sama, tawaran yang datang juga disertakan dengan pelbagai perancangan yang menarik untuk masa depan band kami. Jadi, kami berasakan ia bagus untuk jenama dan kerjaya muzik kami pada masa akan datang.” katanya.

Jelasnya, tawaran mereka itu juga adalah sesuatu yang mereka mahukan selama ini terutama dari segi penghasilan lagu.

“Kontrak itu akan dimanfaatkan sebaik mungkin di mana sebagai permulaan Insomniacks merancang untuk melancarkan tiga lagu sebelum penghujung tahun ini.

“Insya-Allah, kami merancang untuk melancarkan sekurang-kurangnya tiga single tahun ini, termasuk dua lagu versi rakaman semula Pulang dan Reminisensi.

“Selepas itu menyusul single baru. Hala tuju muzik untuk lagu baru ini nanti tak berbeza dengan kebanyakan single yang pernah dilancarkan.

“Cuma, dari segi bunyi mungkin ada kelainan sedikit kerana kami mahu ia kedengaran lebih ‘matang’. Genre pula sama iaitu rock kerana kami masih tak puas dengan muzik sebelum ini,” katanya.

Sementara itu, Pengarah A&R & Pemasaran Universal Music Malaysia, Hermond Cheng berkata, Insomniacks adalah sebuah band yang unik.“Antara sebab kami ‘mengikat’ Insomniacks dengan bernanung di bawah Universal Music adalah mereka penuh keaslian.

“Kesungguhan dan dedikasi mereka terhadap muzik menarik perhatian kami. Sudah pasti kami mempunyai perancangan yang sudah disusun buat mereka.

“Tidak lama lagi, kami akan melancarkan beberapa single baru mereka selain perancangan yang lebih menarik pada masa akan datang,” katanya.