Bakal Tunai Haji Kali Ke-2, Neelofa Mohon Doa Agar Dipermudahkan

Kamaruddin Razal
Julai 20, 2019 06:15 MYT
Pengacara, pelakon dan usahawan popular, Neelofa, 30, bakal menunaikan ibadah haji untuk kali kedua.
Pemilik nama penuh Noor Neelofa Mohd Noor ini bakal berlepas pada 4 Ogos hadapan.
"Insya-Allah, saya bakal menunaikan haji untuk kali kedua. Saya memang merancang untuk ke sana pada tahun ini.
"Sebenarnya, saya tak mahu terlalu teruja kerana proses untuk mendapatkan visa masih belum dilengkapkan lagi.
"Apa sahaja boleh terjadi kerana prosesnya sedang berjalan tetapi saya memohon doa segenap pihak supaya semuanya berjalan lancar," kata Neelofa.
Neelofa ditemui di sesi rakaman Naura Shares edisi haji di MmCineplex, e@Curve, Mutiara Damansara sebentar tadi.
Tambah Neelofa, perjalannya untuk menunaikan ibadah haji kali ini memang dirancang.
"Saya menunaikan haji buat kali pertama pada 2016. Ketika itu, ia tidak dirancang dan saya ke sana dengan ibu bapa.
"Sebenarnya, tahun lepas saya berhasrat untuk ke sana juga tetapi perancangan itu tertangguh kerana keadaan kesihatan arwah datuk yang tidak mengizinkan.
"Alhamdulillah, tahun ini saya sudah merancang perjalanan saya ke Tanah Suci Makkah dan saya bakal berlepas dengan ibu dan dua adik lelaki saya," katanya lagi.
Selain Neelofa, tetamu lain yang turut membuat perkongsian Naura Shares edisi haji ialah dua selebriti lain iaitu Atu Zero, Adam Corrie serta pasangan yang mencatat rekod berbasikal ke Makkah, Ahmad dan Adilah.
Naura Shares edisi haji episod Neelofa membincangkan mengenai topik Kemanisan Ihram.
Rakaman program ini bakal bersiaran pada 9 Ogos ini, jam 9 malam di Astro Naura, saluran 125.
Foto: Azrul Rafie (Instagram @azrul_rafie)
#Neelofa