Buat julung kalinya tayangan trailer untuk filem animasi hebat dan popular Mechamato Movie dilancarkan hari ini.

CEO Monsta, Nizam Abdul Razak berkata mereka melalui cabaran berbeza dalam menghasilkan trailer Mechamato Movie ditayangkan di laman YouTube rasmi Monsta dan Astro Shaw.

"Kami sangat detail dalam menghasilkan trailer kali ini supaya dapat dipersembahkan dengan cara yang menerujakan dalam masa yang sama tidak terlalu mendedahkan keseluruhan penceritaan.

"Amato ni wataknya lebih logik, dia memang seorang rise superhero. Jadi agak susah di situ untuk kami sunting supaya penceritaannya nanti tidak dapat diagak oleh penonton.

"Editing mode kami pun bertukar untuk capai citarasa semasa yang kini selepas negara dilanda pandemik," katanya.

Nizam mengulas perkara berkenaan ketika Majlis Pelancaran Poster dan Trailer Mechamato Movie di sesi Conference & Business Exchange oleh MDec di Cyberview Resort & Spa Cyberjaya, pada Selasa.

Hadir bersama dalam sesi itu adalah Naib Presiden Perniagaan Melayu Nusantara & Ketua Astro Shaw, Raja Jastina Raja Arshad.

Terdahulu siri keluaran studio Monsta itu mencipta sejarah tersendiri apabila mendapat hak siaran di 65 buah negara di seluruh dunia.

Animasi Mechamato yang dilancarkan pada November 2021 menerusi saluran antarabangsa Cartoon Network Asia ini telah dibangunkan dengan sokongan dana dari Malaysia Digital Economy Corporation (MDEC) dan bertujuan untuk membantu mengeksport animasi Malaysia ke peringkat antarabangsa sekaligus menjadikan Malaysia antara pengeluar animasi utama di rantau Asia Pasifik.

Mechamato Movie bakal menemui penonton pada 8 Disember ini di pawagam seluruh negara. Malah, sebuah video khas tentang perjalanan siri animasi Mechamato di persada antarabangsa boleh ditonton di saluran Youtube Monsta dan stesen TV tempatan bersempena dengan sambutan Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia tahun 2022.

Tonton siri animasi Mechamato sekarang di saluran Cartoon Network Asia, HBO GO, Astro Prima dan di aplikasi Astro Go.