Laman Utama
“Bakat Baru Sekarang Talent Jatuh Nombor Dua” - Shaheizy Sam Tak Salahkan Influencer Jadi Pelakon
Usahawan dan pelakon hebat Shaheizy Sam berpendapat influencer yang bergelar pelakon dan aktor-aktor senior berbakat besar mempunyai kelebihan masing-masing dalam industri hiburan tanah air.
Menurut Sam yang terkenal menerusi filem Polis Evo itu tidak menyalahkan lambakan personaliti media sosial yang bergelar pelakon dengan cara mudah.
“Sam tak salahkan bakat-bakat baru yang jadi pelakon sebab sekarang dah ada banyak platform media sosial untuk mempopularkan mereka.
“Pada masa yang sama Sam tak salahkan pelakon senior jugak sebab ini semua adalah kehendak stesen TV. Stesen TV ni orang branding, mereka nak orang yang hebat followers, yang boleh dijual pada berjuta followers, walaupun berlakon ‘kayu’ tak mengapa, itu mungkin pegangan stesen TV,” kata Sam kepada Gempak.
Sam ditemui sewaktu majlis pelancaran produk terbaharunya Syoklat! SyokoTube yang diadakan di Putra Glass Hall, Selangor pada Jumaat.
Tambah Pelakon Lelaki Terbaik di Festival Filem Antarabangsa ASEAN 2013 menerusi filem Songlap ini, aktor senior sepertinya tiada laluan mudah dan lebih bergantung pada bakat untuk menarik minat penonton menonton karya mereka.
“Pelakon-pelakon senior seperti Sam ni dulu tak ada platform sebegini sebab kita bergantung pada bakat. Macam mana nak berjaya, bakat. Macam mana nak dikenali ramai, bakat. Bakat kena power supaya orang suka lakonan kita, orang akan tengok dan sokong.
“Berbezalah dengan sekarang. Pelakon baru sekarang ni, bakat jatuh nombor dua dan followers nombor satu. Jadi semua ada pegangan masing-masing.
“Dua-dua era ni ada value masing-masing. Walaupun dia ‘kayu’, dia ada value dari segi followers yang ramai untuk tengok dia berlakon. Kemudian ada pelakon senior yang ada bakat besar ni, tetap juga ada orang nak tengok sebab dia berlakon bagus. Masing-masing ada kelebihan,” jelasnya lagi.
Must-Watch Video