VIRAL

Bala Bergurau Tak Jumpa Arah Kiblat Di Makkah, Influencer Jatuh Sakit - "Gigi Berlaga, Tekak Panas, Nafas Sesak... Rasa Sakit Sangat"

Amri Hassan 20/04/2025 | 03:55 MYT
Seorang pempengaruh media sosial Indonesia, Arif Muhammad, yang lebih dikenali sebagai Mak Beti, tular selepas jatuh sakit ketika menunaikan ibadah umrah di Makkah.
Sebelum sakit, Arif memuat naik video bergurau mengenai kekeliruannya mencari arah kiblat di bilik hotelnya, menyatakan ketiadaan penunjuk arah kiblat seperti yang biasa terdapat di hotel-hotel di Indonesia.​
"Di Indonesia pun setiap hotel ada tanda arah kiblat. Saya dah cari di dalam laci, dalam almari, atas meja-meja kat sini pun tak ada.
"Macam mana boleh jadi macam ni biliknya? Kalau saya tengah sakit atau Dita yang sakit nak solat, nak menghadap ke mana? Tak ada pun arah kiblat," katanya.
Beberapa hari selepas memuat naik video tersebut, Arif mengalami masalah kesihatan serius termasuk pening kepala, demam, menggigil, sesak nafas dan degupan jantung yang laju.
Arif menganggap keadaan ini sebagai teguran dari Allah kerana tidak menjaga tutur kata di Tanah Suci.
"Tapi, sumpah ini kali pertama saya rasa sakit macam ni. Teruk sangat rasanya.
"Kepala rasa pening sangat, badan panas sejuk, seluruh badan menggigil, gigi berlaga sebab terlalu sejuk, nafas rasa sesak, jantung berdebar kencang, tekak panas sangat sampai nak bercakap pun tak keluar suara. Nak telan pun sakit, apatah lagi bila batuk, rasa macam luka kena garam.
"Sebenarnya dari Madinah lagi, tekak dah mula rasa sakit. Tapi sebab nafsu lebih besar daripada iman, saya tak jaga makan. Semua makanan pedas dan berminyak saya belasah.
“Mungkin Allah beri sakit semasa umrah ni sebagai satu teguran untuk saya, mungkin ada kata-kata atau tingkah laku saya yang tak elok di Tanah Haram, atau untuk menggugurkan dosa-dosa yang pernah saya lakukan," katanya.
Namun, selepas menerima rawatan, keadaannya dilaporkan semakin pulih.
#Viral #Sakit #Umrah #Makkah #Influencer #Arif Muhammad #Kiblat #Mak Beti