Penangan kunjungan Dewa 19 sempena konsert ulang tahun ke-30 di Malaysia berjaya menawan hati lebih 9,000 peminat terutama Baladewa dan Baladewi (panggilan bagi penggemar kumpulan Dewa 19) pada malam semalam.

Mana tidaknya, Konsert Anniversary Tour 30 Years Of Dewa 19 yang diadakan di Axiata Arena, Bukit Jalil itu berlangsung selama 3 jam lamanya dengan 38 dendangan lagu yang dipersembahkan oleh lima penyanyi Dewa 19 iaitu Ahmad Dhani, Virzha & Tyo Nugros, Ello, Ari Lasso, Once Mekel.

Konsert Anniversary Tour 30 Years Of Dewa 19 bakal diadakan selama dua hari iaitu semalam dan hari ini di lokasi yang sama khas buat peminat yang sudah lama menantikan hiburan dari kumpulan kegemaran mereka selepas pandemik Covid-19 melanda.

Bagi yang terlepas atau tidak berpeluang untuk menghadiri konsert kumpulan yang berasal dari Surabaya ini semalam, Gempak kongsikan serba-sedikit apa yang berlaku di konsert ini semalam.

#1 Penonton Sanggup Berhujan

Meskipun konsert dijadualkan bermula 8.30 malam , namun seawal jam 5.30 petang lagi penonton serta Baladewa Baladewi sudah mula menuhi perkarangan luar Stadium Axiata Arena, Bukit Jalil. Malah mereka sanggup berhujan ketika sedang beratur sebelum pintu masuk konsert dibuka.

#2 Menghormati Malaysia

Tepat jam 8.30 malam segala ‘briefing’ tentang SOP diberikan buat seluruh penonton yang memenuhi ruang Axiata Arena yang sedang bersedia dan tidak sabar hendak menonton kumpulan kegemaran mereka beraksi.

Malah ketika diminta hendak berdiri, semua sudah bersedia dengan kamera dan telefon bimbit masing-masing kerana menganggap Dewa 19 akan muncul.

Namun tekaan mereka meleset kerana semua diminta untuk menyanyikan lagu kebangsaan terlebih dahulu demi menghormati Malaysia sebagai lokasi jelajah untuk konsert mereka.

#3 Imbau Kenangan

Bagi memanaskan lagi keadaan sebelum konsert bermula. Penganjur telah memainkan montaj yang memainkan foto-foto kumpulan Dewa19 dari ahli asal mereka pada tahun 1992 sehingga kini.

Malah turut memaparkan foto kenangan mereka beraksi dengan mengadakan persembahan di merata tempat termasuk luar negara.

#4 Belanja 38 Lagu, Wajib Sing Along!

Setelah lebih dua tahun Malaysia tidak mengadakan konsert, Dewa19 berjaya mengembalikan 'vibe' konsert serta mengubat kerinduan peminat untuk berhibur serta bebas dalam konsert seperti dahulu.

Apa yang pasti konsert yang berlangsung selama 3 jam dengan 38 lagu membuatkan penonton puas berhibur sambil menyanyi bersama serta tidak kurang yang bergoyang bersama rakan dan pasangan.

Lagu popular mereka antaranya Cinta Gila, Tak Kan Ada Cinta Yang Lain, Aku Milikmu, Larut, Hadapi Dengan Senyuman serta Angin telah dinyanyikan oleh Virzha, Ello, dan Ahmad Dhani.

Bukan itu sahaja, segmen kedua yang menyaksikan kemunculan Once dan Ari Lasso menambahkan lagi sorakan kuat daripada peminat memenuhi ruang Axiata Arena. Persembahan nyanyian Once menerusi Roman Picisan, Arjuna, Dewi dan Sedang Ingin Bercinta duet bersama Ahmad Dhani sudah tentu mengubat hati peminat mereka.

#5 Virzha Bagi Mini Love!

Kesemua penyanyi Dewa 19 cukup pandai berinteraksi dengan penonton. Tidak henti-henti mereka meluahkan rasa cinta pada peminat di Malaysia. Malah penyanyi Virzha sempat menunjukkan jari lambang ‘mini love’ buat peminatnya. Once pula berharap penonton terhibur, “Sudah lama kami tidak main di Malaysia, harap kamu semua enjoy!”

#6 Ari Lasso Syukur Masih Hidup


Sementara itu Ari Lasso antara penyanyi terawal Dewa 19 pula sempat melahirkan rasa syukur kerana diberi kesihatan yang baik untuk kembali membuat persembahan di sini selepas baru sahaja pulih bebas daripada kanser Limfoma.

Malah dia memberikan persembahan yang terbaik menerusi beberapa lagu antaranya Risalah Hati, Pupus, Kangen dan Separuh Nafas.


#7 Belon & Selfie!

Penutut konsert itu penonton di hujani belon berwarna warni dari atas dewan sebagai ucapan terima kasih buat peminat Dewa 19. Malah Dewa 19 sempat bergambar bersama-sama dengan seluruh penonton dengan bergambar bersama di seluruh dewan pada malam itu.

Kesimpulannya Dewa 19, kamu memang luar biasa!