Balu Arwah Abam Kecewa Tak Dibayar RM60,000, Ali Puteh Pula Dakwa Hidayah Tabur Sesuatu Keliling Rumah!
Balu Allahyarham Abam Bocey, Siti Norhidayah Mohd Ali, 30, mendakwa adik iparnya dan keluarga tidak membuat bayaran sebanyak RM60,000 seperti diperintahkan oleh mahkamah sebelum ini.
Hidayah meluahkan rasa kecewanya menerusi satu hantaran video di akaun Instagram miliknya dan meminta pihak mereka menyegerakan bayaran tersebut.
“Hari ini 10/02/2023. Genap tiga tahun arwah tinggalkan Kami... Abang sayang datang rumah kita tapi… Korang nilaikan sendiri... PIHAK DI SANA tolong buat BAYARAN 60k.
“Peguam Dayah dua kali hantar surat 21 hari. Tapi pihak sana hanya berdiam diri dan permainkan perintah mahkamah,” tulisnya.
Dalam hantaran yang sama, Hidayah juga memaklumkan kehadirannya bersama peguam ke rumah itu seolah-olah tidak dihiraukan.
“Korang boleh tengok sendiri rumah kami jadi apa. Sedih sangat-sangat. Dayah datang bersama peguam.
“Satu jam Dayah tunggu tiada siapa yang buka pintu rumah. Padahal ada kereta, motosikal arwah dan kasut.
"Sedih sangat-sangat datang dengan perasaan hampa. Datang rumah sendiri tapi tak dibagi masuk," tulisnya
Ali mendedahkan perkara itu menerusi satu video yang di muat naik di akaun Instagram miliknya.
Dalam video tersebut, Ali juga menegaskan dia dan keluarga tidak tinggal lagi duduk di kediaman tersebut selepas ibunya, Sabariah Arshad, meninggal dunia pada 30 September 2021.
“Saya bukan nak menyebarkan aib orang, tak baik. Ini rumah arwah Abam. Saya tidak tinggal di sini selepas ibu saya meninggal dunia.
“Apa saya dapat tahu dari abang ipar dan adik, pagi tadi balu dan peguamnya datang ke sini. Apa saya nampak keliling rumah ini adalah taburan garam, daun-daun, kulit limau.
“Saya tak takut benda ini. Kalau kata saya mati sebab benda ini, saya reda, saya okay.
“Ni kulit limau, daun-daun koyak ni, keliling, pagi tadi yang saya dayang rumah, yang kita tidak tahu apa-apa,” ujarnya.
Bagaimanapun tidak lama kemudian, video itu telah pun dipadamkan.
Terdahulu, pada 28 Disember lalu, Ali gagal dalam rayuan untuk mengetepikan perintah mahkamah berhubung ganti rugi RM60,000 yang perlu dibayar kepada Hidayah kerana memfitnahnya di media sosial dua tahun lepas.
Selain itu, mahkamah juga menolak rayuan Ali dan tiga anggota keluarganya untuk mengetepikan keputusan Mahkamah Sesyen yang menolak tuntutan samannya terhadap Hidayah dan usahawan kosmetik Datuk Seri Aliff Syukri Kamarzaman berhubung satu temu bual yang disiarkan secara langsung di akaun YouTube miliknya.