Trio metal Voice of Baceprot (VOB) bakal menggegarkan Malaysia dengan Konsert Voice Of Baceport Live In Kuala Lumpur pada 19 Februari ini.

Band muda Indonesia yang berhijab ini mula menempa nama di kalangan penggemar muzik metal seluruh dunia apabila tampil memberikan nafas baru kepada lagu-lagu metal band terkenal kegemaran ramai seperti Red Hot Chilli Peppers, Rage Against The Machine, Slipknot dan Metallica.

Kehebatan lagu-lagu ‘cover’ mereka turut diakui oleh nama-nama hebat, antaranya Slash, Tom Morello dan Flea, gitaris bass RHCP.

Memiliki ramai pengikut dalam talian dan dari kalangan peminat metal, VOB yang dianggotai oleh Marsya (vokalis dan gitaris), Widi (gitaris bass) dan Sitti (pemain dram) sentiasa memberikan yang terbaik dalam setiap persembahan mereka dan acap kali memecahkan stereotaip tentang rupa dan gaya bunyi sesebuah band metal dengan cara yang tersendiri.

Susulan kemunculan bertenaga mereka di Wacken Open Air 2022 di German yang mendapat sorakan gemuruh dan pujian peminat yang hadir, VOB menamatkan kesibukan tahun 2022 mereka dengan 2 rekod single, EP terbaru berjudul ‘PMS’, dan kejayaan 12 persembahan di 7 negara termasuk jelajah Eropah.

Trio wanita ini bakal menemui peminat metal Malaysia buat julung kalinya dengan mempersembahkan lagu-lagu single mereka, ‘School Revolution’, “God, Allow Me (Please) to Play Music, ‘[Not] Public Property’ dan ‘PMS – Perempuan Merdeka Seutuhnya’.

Konsert ini bakal dimulakan dengan persembahan oleh band alternatif metal tanah air, Blind Tribe. Band kelahiran Pulau Pinang ini ialah nama yang tidak asing lagi buat peminat metal negara. Bermula sebagai band ‘underground‘, seterusnya pernah membuka tirai bagi band Inggeris Napalm Death, Blind Tribe sehingga kini masih lagi bertakhta di hati peminat.

Desas- desus kemunculan semula mereka dalam masa terdekat membangkitkan lagi keterujaan peminat akan persembahan hebat yang bakal dipamerkan band berpengalaman ini.

Voice Of Baceport Live In Kuala Lumpur dibawakan oleh Pentas 365 selaku penganjur utama dengan kerjasama rakan penganjur, Lampuneon dan Ticket Empire selaku ejen rasmi tiket.

Maklumat lanjut mengenai konsert dan jualan tiket boleh didapati di laman Instagram Pentas 365: instagram.com/pentas365 dan laman web www.myticketempire.com. Nantikan info selanjutnya.

Undi bintang digital dan content kegemaran Top 5 anda di Gempak Most Wanted Awards 2022 di sini.