Laman Utama
Bangga Darah Dibawa Terbang Ke Australia, Azhan Rani Ajak Orang Ramai Keluar Menderma; “Kalau Takda Rupa Atau Bakat Pun Takda Masalah Nak...”
Pelakon Azhan Rani meluahkan rasa syukur apabila berkesempatan menderma darah plasma selepas setahun tidak dapat berbuat demikian akibat terlibat dalam kemalangan jalan raya.
Menerusi perkongsian di Instagram, Azhan atau nama lengkapnya Azhan Abdul Rani, 46, berkata itu merupakan kali yang ke-50 dia menderma darah plasma buat mereka yang memerlukan.
“Alhamdulillah, hari ni dengan izin Allah kembali menjadi penderma apheresis. Genap 50 kali untuk hari ini.
“Hampir setahun lepas kemalangan jalan raya Januari hari itu direhatkan. 6 bulan lepas accident kena jadi penderma darah merah dulu, rehat semula tiga bulan, hari ini dapat semula jadi penderma apheresis,” jelasnya.
Dalam pada itu, Azhan turut memaklumkan darahnya itu akan diproses terlebih dahulu sebelum dibawa ke Australia. Malah dia turut berpesan kepada orang ramai untuk keluar menderma darah bagi mereka yang masih sihat.
“Darah plasma ini akan terbang ke Australia untuk diproses. Merasa darah aku pergi sana (Australia). Aku pun tak pernah sampai lagi. Setakat Arau, Perlis tu adalah juga dua tiga kali dah sampai.
“Jom yang sihat dan layak menderma darah sama-sama kita kongsi nikmat kesihatan yang ada sekarang. Hanya ketika sihat kita layak membantu, jangan tunggu hingga nikmat kesihatan kita takde nanti,” kongsinya.
Sementara itu, menerusi satu lagi hantaran terbaharu pada entri sama, Azhan sempat berseloroh mengatakan untuk menderma darah tidak perlu memikirkan soal rupa dan bakat.
“Kalau takda rupa atau takda bakat pun takda masalah nak jadi penderma darah merah atau apheresis,” tambahnya.
Must-Watch Video