Layan Gempak Non-Stop Live hari ini selama 12 jam! Kumpul kata kunci & menang hadiah menarik di sini
Gaya Hidup

Bangga Makan Banyak Tapi Badan Kurus? Awas! Ini Petanda Anda Mempunyai…

Mya Amri 12/06/2020 | 11:54 MYT
Individu yang gemar makan dengan banyak tetapi badannya tetap kekal kurus pasti membuatkan ramai orang cemburu.
Bagaimanapun mengikut perkongsian dilaman Facebook Public Health Malaysia, memiliki tubuh yang kurus itu tidak semestinya sihat.
Menurut Public Health Malaysia walaupun memiliki berat badan ideal, tanpa disedari akibat pemakanan dan gaya hidup yang kurang sihat boleh menyebabkan lemak tersembunyi bersama organ -organ penting di abdomen.
Situasi tersebut dikenali sebagai TOFI. “Thin Outside, Fat Inside”.
“Hal ini, menjelaskan persoalan mengapa individu yang kurus turut menghidap penyakit penyakit metabolik seperti, kencing manis, darah tinggi, tinggi kolesterol, penyakit jantung dan strok
“Jika anda perasan, individu TOFI ini tidak cergas, cepat penat dan kadang kala nampak pucat. Situasi stress dan kurang tidur menyebabkan paras kortisol meningkat dan seterusnya meningkatkan lagi pengumpulan lemak di organ.
“TOFI sukar dikesan. Lemak tersembunyi itu hanya boleh dilihat menerusi ujian imbasan MRI atau ujian darah untuk mengesan paras kolesterol, gula dan fungsi organ.
“Lebih bahaya, akibat sentiasa langsing, mereka tidak mengawal pemakanan dan tidak menjaga kesihatan. Mereka juga tidak pergi menjalani ujian saringan kesihatan seperti orang lain.
“Kesimpulannya, tubuh kurus tidak bermakna anda lolos dari risiko penyakit metabolik. Makanlah dengan kadar sederhana.. kurus bukan lesen untuk tidak menjaga kesihatan,” kongsi paparan tersebut.
Apa yang penting, amalkan gaya hidup yang sihat dan makan makanan seimbang. Jangan lupa untuk bersenam dan pastikan diri sentiasa cergas.
#Gaya Hidup
;