Penyanyi rap terkemuka dunia, Snoop Dogg menyatakan rasa tidak sabar untuk bertemu rapper terkenal Malaysia, Joe Flizzow.

Snoop Dog meluahkan keinginannya itu sewaktu Joe menghubunginya secara virtual menerusi platform Zoom.

Semasa mengadakan sesi temu bual itu, Snoop Dog juga turut mengatakan rasa tidak sabar untuk bertemu Joe serta rakan-rakan di Malaysia dan menghadiahkan rantai.

Sebelum ini Snoop Dogg atau nama sebenarnya, Calvin Cordozar Broadus Jr memuji usaha Joe dalam memperkasakan muzik hip hop tanah air dengan penubuhan rancangan 16 Baris yang diperkenalkan beberapa tahun lalu.

16 Baris direalisasikan sebagai satu pentas demi mencari bintang hip hop terbaru Asia Tenggara.

Ia menampilkan bakat baharu dunia hip hop dari rantau Asia Tenggara khasnya dari Singapura, Malaysia dan Indonesia.

Aksi penyanyi rap antarabangsa itu menonton episod 16 Baris di laman YouTube kemudiannya telah menjadi viral di media sosial.

Untuk info, sejak menyertai keluarga Def Jam Recordings melalui penubuhan Def Jam Southeast Asia (SEA), usaha Joe dalam menerajui label hip hop tersohor dunia itu semakin menyerlah dan pertemuan bersama Snoop Dogg ini menunjukkan kemajuan yang semakin gah.

Jelas terbukti bahawa pihak Def Jam SEA di Asia Tenggara akan bekerjasama dengan lebih dekat bersama pasukan Def Jam di Amerika Syarikat.

Joe sendiri juga sebelum ini pernah berduet bersama salah satu ikon hip hop antarabangsa iaitu Warren G.

Sehingga kini Def Jam SEA membariskan ramai nama-nama besar seperti Joe Flizzow dari Malaysia, Daboyway dari Thailand, Yung Raja, Fariz Jabba dan ALYPH dari Singapura, serta A.Nayaka dari Indonesia.