Penyanyi dan hos Big Stage, Alif Satar berkongsi momen manis apabila dua puterinya iaitu Alisha Anugerah dan Ariana Mecca semakin menyayangi adik lelakinya yang baru dilahirkan bulan lalu.

Malah, menurut Alif kedua-duanya juga tidak menunjukkan simptom cemburu atau janggal apabila menerima kehadiran adik lelaki mereka, Muhammad ‘Ali.

"Alhamdulillah kedua-dua kakak 'Ali sayang betul dekat dia. Memang tiada istilah jeles atau cemburu ke apa, mereka sebaliknya nampak lebih seronok.

"Setiap pagi bangun je mesti nak cium sampai mak dia pula yang rimas," katanya.

Ditanya sama ada Alif lebih teruja menerima anak ketiga ini, dia menjelaskan keseronokkan dikurniakan cahaya mata adalah sama tanpa mengira jantina.

"Keseronokkan tu sama je, bila dikurniakan rezeki anak kita bersyukur. Tapi untuk Ali ni dia macam 'rare' sebab semua perempuan dan dia je lelaki," katanya.

Alif ditemui ketika program 'ALIF MastaClass Goreng' bersempena pelancaran label baru minyak masak ALIF di restoran Slate @ The Row, baru-baru ini.

Seramai 20 pemenang bertuah dipilih untuk muncul dalam program yang menampilkan selebriti terkenal Chef Nik Michael Imran serta Alif Satar sendiri.

Program 'ALIF Mastaclass Goreng' akan ditayangkan secara eksklusif di laman Facebook Minyak Masak 'ALIF'.

Terdahulu, Alif pernah mendedahkan anak bongsunya itu merupakan cahaya mata yang dinanti-nantikan keluarganya.

Kata Alif, 'Ali menjadi anak lelaki pertama sepanjang tiga generasi disebabkan kebanyakan ahli keluarga sebelah ibunya terdiri daripada saudara-mara perempuan melainkan Alif sendiri.

BACA: Tiga Generasi Tunggu Anak Lelaki, Ini Istimewanya Cahaya Mata Bongsu Alif Satar!

Untuk rekod, Alif dan isterinya Shadila Halid telah berkahwin pada 15 September 2014.

Hasil perkahwinan itu, pasangan ini sudah dikurniakan dua orang puteri bernama Alisha Anugerah dan Ariana Mecca sebelum kemudiannya menerima kehadiran cahaya mata ketiga, Muhammad ‘Ali pada 19 Ogos lalu.