Kakitangan dan pelawat di Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) dilapor telah diarah mengosongkan bangunan tersebut sekitar jam 3.40 petang.


Ancaman bom tingkat 14

Tindakan tersebut didakwa susulan wujud ancaman bom di tingkat 14 bangunan tersebut.

Insiden berkenaan turut dikongsi oleh Penolong Kanan Naib Presiden, Kandungan Berjenama, Astro AWANI, Zaiful Mohd Ariffin yang berada di lokasi kejadian bagi menghadiri satu mesyuarat.

Menurut Zaiful, difahamkan bungkusan tersebut telah dihantar menggunakan perkhidmatan penghantaran

"Kakitangan kementerian telah melihat bungkusan berkenaan dan ia dilihat seperti bom. Ketika ini kita masih belum tahu mengenai bungkusan tersebut.

"Tetapi sebagai langkah keselamatan, kakitangan telah diarahkan untuk mengosongkan bangunan," katanya.

Difahamkan, pasukan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) dan Unit Pemusnah Bom telah berada di lokasi kejadian.

Astro AWANI sedang mendapatkan pengesahan daripada pihak berkuasa berhubung kejadian tersebut.


Sumber: AWANI