Musibah banjir yang melanda negara dan dicatatkan antara terburuk dalam sejarah Malaysia ternyata memberi kesan mendalam kepada semua rakyat dari seluruh pelusuk negeri.

Tidak hanya menjadi saksi dengan membaca berita atau melihat foto foto musibah yang dikongsi dalam media sosial, rakyat yang cukup terkesan dengan musibah ini dilihat tak senang duduk apabila sama sama mengambil bahagian dalam usaha menghulurkan bantuan kepada mangsa mangsa banjir.

Tinjauan Gempak mendapati netizen saling membantu dengan menyebarkan maklumat mangsa yang terkandas selain secara sukarela menghulurkan bantuan termasuk melakukan operasi menyelamat.

Antara yang menarik perhatian adalah apabila ada yang datang dari pelbagai negeri dengan membawa bot untuk melakukan misi mnyelamatkan mangsa yang masih terperangkap walaupun hujan yang melanda ibu kota sudah reda.

Ada juga yang menggunakan kayak dalam misi menyelamat dalam keadaan gelap dan berusaha keras memastikan setiap bantuan yang dihulurkan sampai kepada mangsa.



Tidak hanya mempertaruhkan nyawa dengan ‘turun padang’, ramai juga yang menghulurkan bantuan melalui pengumpulan dana dan bekalan yang diperlukan seperti makanan dan pakaian.

Malah, ramai yang memasak makanan sebelum mengedarkannya kepada mangsa yang langsung tidak dikenali selain bermurah hati menjadikan kediaman sendiri sebagai tempat persinggahan sementara buat yang memerlukan.

Untuk rekod, antara kawasan di ibu kota yang terjejas teruk termasuklah di Shah Alam, Klang, Hulu Langat dan Dengkil.

Salah satu kawasan yang kini menjadi pusat perhatian penyelamat adalah Seri Muda dengan BERNAMA melaporkan tinjauan di sekitar kawasan tersebut mendapati keadaan sekeliling masih bergelap susulan ketiadaan bekalan elektrik selain hubungan telekomunikasi terputus ekoran banjir yang melanda.

Gempak mendoakan agar semua usaha murni berjalan lancar dan mangsa banjir dapat diselamatkan. Terima kasih juga buat seluruh anggota Tentera Malaysia, Bomba, Polis serta semua pihak yang masih berusaha keras membantu semua mangsa banjir di seluruh negara.

Kredit Foto: Zayan (Kompilasi Foto & Informasi Pengguna Media Sosial